Umum

Salahuddin Ayub meninggal dunia

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, malam ini.

Beliau meninggal dunia pada jam 9.23 malam, ketika masih dalam Unit Rawatan Rapi HSB.

Kematian beliau diumumkan oleh anaknya, Fatihah Salahuddin menerusi perkongsian di Facebook.

Salahuddin yang juga Timbalan Presiden AMANAH, dikejarkan ke Jabatan Kecemasan HSB, pada jam 10.15 malam Jumaat lalu, untuk rawatan kecemasan selepas mengalami mual dan muntah-muntah.

Pemeriksaan doktor pakar kemudiannya mengesahkan Salahuddin mengalami pendarahan otak.

Beliau kemudiannya menjalani pembedahan pada pagi Sabtu, sebelum ditidurkan di bawah pengawasan rapi pakar pembedahan dan perubatan HSB.

Selain ahli keluarga terdekat, antara kenamaan turut menziarahi Salahuddin di HSB malam ini ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang juga Presiden AMANAH dan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Katanya, pembedahan yang dilalui oleh Salahuddin semalam berjaya tetapi beliau masih berada di bawah pemantauan pakar dalam ICU.

Salahuddin meninggalkan seorang balu iaitu Datin Seri Fatimah Taha bersama enam anak.

Sumber: Berita Harian

PALING POPULAR

To Top