Umum

570 calon bertanding PRN, satu lawan satu di 180 kerusi

Sebanyak 570 calon bertanding merebut 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya enam negeri pada 12 Ogos ini, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh berkata 571 kertas pencalonan diterima bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah, tetapi satu ditolak.

Kertas yang ditolak itu dikemukakan calon Bebas yang menawarkan diri bertanding di DUN Kota Lama di Kelantan.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu yang diadakan serentak dengan PRN, menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) dan PAS, katanya pada sidang media mengenai urusan penamaan calon PRN dan PRK Kuala Terengganu di Putrajaya hari ini.

“SPR menerima 83 kertas penamaan calon di Kedah, 97 di Kelantan, Terengganu 66, Pulau Pinang (95), Selangor (147), Negeri Sembilan (83) dan PRK Kuala Terengganu dua kertas penamaan,” katanya.

Ghani berkata seramai 168 calon yang bertanding dalam PRN itu adalah daripada Perikatan Nasional (PN),  Pakatan Harapan (PH) seramai 137 calon, Barisan Nasional (BN) seramai 108 calon, 77 calon bertanding mewakili PAS. 

Seramai 13 calon bertanding atas tiket Parti Rakyat Malaysia, 19 calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), empat calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), dua calon Penang Front Party (PFP), seorang calon Parti Utama Rakyat (PUR) dan 41 orang bertanding sebagai calon Bebas, katanya.

Ghani berkata pertandingan satu lawan satu yang terlibat dalam PRN membabitkan 180 kerusi, tiga penjuru di 51 kerusi, empat penjuru di 13 kerusi manakala kerusi DUN Lunas, Kedah menyaksikan pertandingan lima penjuru.

“Calon paling ramai bertanding adalah dalam kalangan yang berusia antara 50 hingga 59 tahun iaitu seramai 204,” katanya.

Seramai 111 calon berusia lebih 60 tahun, calon berumur 40 hingga 49 tahun seramai 157, calon berusia 30 hingga 39 seramai 83 orang manakala calon berusia 21 hingga 29 seramai 17 calon, katanya.

Ghani berkata calon tertua adalah calon PRM di DUN Pantai Jerejak, Pulau Pinang iaitu Ravinder Singh yang berusia 80 tahun, manakala calon termuda adalah Melanie Ting Yi-Hlin, 23, yang mewakili Muda di DUN Bukit Antarabangsa, Selangor.

Seramai 501 calon yang bertanding pada PRN dan PRK Kuala Terengganu itu adalah lelaki manakala 71 calon adalah wanita, katanya.

SPR menetapkan PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah serta PRK Parlimen Kuala Terengganu dilaksanakan serentak dengan hari pengundian pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

Sumber: Malaysianow

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top