Umum

PAS: Mana tindakan SPRM isu Zahid ‘normalisasikan rasuah’?

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ramai yang menunggu SPRM untuk mengambil tindakan terhadap ucapan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini di Terengganu, yang disifatkan “menormalisasikan rasuah”.

Kata Tuan Ibrahim, meskipun ramai yang mempersoalkan ucapan Zahid, SPRM masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perkara itu.

“Jauh beza dengan kenyataan segera terhadap tindakan pihak pembangkang.

“Sehingga menyediakan bas oleh kerajaan Kelantan untuk kemudahan pengundi pulang membuang undi, dengan tiada sebarang syarat sama ada mengundi sesiapa yang mereka suka, dianggap satu kesalahan rasuah,” kata ahli parlimen Kubang Kerian itu dalam catatan Facebook hari ini.

Tuan Ibrahim turut mengkritik Bersih yang menurutnya berdiam diri apabila kerajaan sedia ada melakukan kesalahan pilihan raya walaupun kumpulan itu lantang menentang kerajaan terdahulu.

Zahid, yang juga menteri pembangunan luar bandar dan wilayah, sebelum ini dikritik kerana ucapannya ketika mengumumkan peruntukan yang disediakan kementeriannya pada satu majlis.

Selepas mendedahkan kementerian akan memberi RM250,000 kepada Majlis Belia Terengganu dan RM200,000 kepada pasukan bermotosikal di seluruh negeri itu, Zahid kemudian meminta belia yang hadir pada majlis itu mengundi “gelombang biru dan merah” pada pilihan raya negeri 12 Ogos ini.

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan ucapan itu sebagai “menormalisasikan rasuah” manakala Muda Terengganu membuat laporan polis berhubung perkara ini.

Bersih juga telah menyelar Zahid atas ucapannya, mengatakan dia melanggar dua larangan 3C semasa pilihan raya – ‘tiada kempen’ dan ‘tiada syarat’.

Kumpulan pemantau pilihan raya itu juga menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya mengawal anggota kabinetnya.

Zahid sejak itu menafikan dia cuba menormalisasikan rasuah, mengatakan bahawa peruntukan yang diumumkan adalah perlu untuk menyokong golongan muda di negara ini.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki menasihatkan parti politik supaya tidak menyediakan perkhidmatan bas kepada pengundi semasa tempoh pilihan raya negeri, dengan berkata ia boleh menimbulkan syak wasangka.

Kerajaan Kelantan sebelum ini mengumumkan inisiatif bas untuk pelajar pulang mengundi.

Sumber: MalaysiaKini

PALING POPULAR

To Top