Umum

Abang sado baju merah dipenjara tujuh hari

Seorang penyelia kilang dijatuhi hukuman penjara tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Tapah pada Jumaat atas pertuduhan mengugut dan mencederakan pemandu wanita hingga video kejadian itu tular di media sosial, Isnin lalu.

Majistret Siti Hanum Mohmad Sah menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammad Zaim Faiz Tarmizi, 29, selepas dia mengaku salah sebaik kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari bagi setiap pertuduhan bagaimanapun memerintahkan hukuman penjara dijalankan secara serentak bermula tarikh sabitan.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang anak itu didakwa telah menakutkan secara jenayah terhadap Amiera Atiqah Shahrizan, 25, dengan kata ugutan ‘pecah muka kau sat lagi’ di Lata Iskandar Kilometer 22, Jalan Tapah – Cameron Highlands sekitar jam 5.33 petang pada 5 Jun lalu.

Pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada individu sama di lokasi dan tarikh sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara yang boleh sampai satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya meluahkan bahawa kejadian itu berlaku apabila wanita berkenaan cuba memotong kenderaannya dan tindakannya itu boleh mengancam nyawa ahli keluarga terutama anak dan isterinya yang sarat mengandung lapan bulan.

Timbalan Pendakwa Raya, Geetha Jora Singh bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai satu mesej bahawa perbuatan berkenaan merupakan jenayah serius tambahan kes berkenaan menimbulkan kemarahan kepada masyarakat.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Siti Hanum menasihatkan tertuduh supaya berfikir dahulu sebelum bertindak dan setiap tindakan ada kesan dan akibatnya bukan sahaja kepada diri sendiri malah ahli keluarga dan masyarakat.

Pada Selasa, lelaki terbabit ditahan di sekitar Serdang, Selangor selepas mangsa berusia 24 tahun itu membuat laporan polis berhubung insiden terbabit.

Siasatan awal polis mendapati, kejadian itu berlaku sekitar jam 5.33 petang pada Isnin ketika mangsa dalam perjalanan turun dari Cameron Highlands menuju ke Tapah bersama adik lelakinya berusia 17 tahun.

Kejadian dikatakan berlaku akibat salah faham di atas jalan raya sekitar pusat peranginan Lata Iskandar apabila mangsa cuba memotong sebuah kereta Proton Persona yang berada di hadapannya, namun tidak dapat berbuat demikian.

Terdahulu tular video berdurasi 1 minit memaparkan tindakan seorang lelaki berbadan tegap memakai baju merah keluar dari kereta dipandunya dan mengetuk cermin kenderaan di belakangnya sebelum memarahi dan memukul kepala pemandu terbabit.

Sumber: Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top