Umum

Abdul Hadi Awang kekal sebagai Ahli Parlimen Marang

Gambar FB Abdul Hadi Awang

Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang kekal sebagai Ahli Parlimen Marang selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir bekas calon Barisan Nasional, Jasmira Othman atas dakwaan berlaku sogokan pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Panel tiga hakim yang diketuai Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim pada hari Rabu, memutuskan sebulat suara untuk menolak rayuan pilihan raya yang difailkan Jasmira bagi membatalkan kemenangan Abdul Hadi pada PRU15.

Menurut Hakim Abang Iskandar, perayu gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap rayuan, dan rayuan ditolak tanpa sebarang kos.

Turut bersidang bersama ialah Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Hakim Datuk Rhodzariah Bujang.

Dalam prosiding hari ini Jasmira diwakili peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun manakala Abdul Hadi selaku responden diwakili peguam Yusfarizal Yussoff.

Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu mengekalkan Abdul Hadi Awang sebagai Ahli Parlimen Marang selepas menolak petisyen yang difailkan Jasmira bagi membatalkan kemenangan Presiden PAS itu.

Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani memutuskan Jasmira gagal membuktikan wujud unsur rasuah mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pada PRU15 lalu, Abdul Hadi memenangi kerusi Parlimen Marang dengan majoriti 41,729 undi menewaskan Calon BN Jasmira, calon Pakatan Harapan (PH) Azhar Ab Shukur dan calon Pejuang, Dr Zarawi Sulong.

PALING POPULAR

To Top