Umum

Afdlin Shauki dipilih sebagai Pengerusi FDAM

Gambar FDAM

Datuk Afdlin Shauki dipilih sebagai Pengerusi Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) yang baharu bagi penggal 2024 hingga 2025.

Dalam suatu kenyataan, FDAM memaklumkan pemilihan itu dibuat pada Mesyuarat Agung Dwitahunan FDAM ke 25 yang diadakan di Pawagam mini P Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Hulu Kelang, pada ahri Sabtu.

Menurut kenyataan itu, Afdlin berkata “Tanggungjawab sebagai pengerusi FDAM suatu yang berat tetapi saya teruja untuk bersama rakan-rakan membawa suatu pembaharuan dan penjenamaan yang baharu supaya kita semua kembali berbangga memegang kad keahlian FDAM.”

Afdlin turut menyatakan komitmen untuk membantu ahli-ahli persatuan ke tahap profesionalisme lebih tinggi dan menaikkan kembali imej persatuan itu.

“Masalah FDAM tidak dihormati, mungkin apa-apa yang dilakukan pihak sebelum ini, itu kita letak ke tepi tapi kita menjenamakan semula FDAM ini menjadi tonggak utama untuk pengarah-pengarah di Malaysia. Kalau nak jadi pengarah mesti kena ada FDAM dan mesti diiktiraf sebagai ahli FDAM,” katanya.

Afdlin berkata, penyertaan menjadi ahli FDAM juga terbuka kepada pempengaruh digital agar golongan itu mengambil peluang menimba ilmu dan pengalaman bersama FDAM dan ahli-ahli senior yang banyak pengalaman dalam mengarah filem.

“Kita mendekati mereka kerana sekarang ini dunia ‘content’ ada di tangan mereka sebenarnya. Kita jangan sombong dan duduk dalam kepompong kita sebaliknya mesti membuka tangan kita menerima pembikin filem bebas tidak kira bangsa mahupun pergi ke mana saja agar kita sentiasa menyokong mereka dan akhirnya memperkasakan kembali filem-filem Malaysia yang menjadi objektif utama,” ujarnya.

Selain Afdlin, sembilan jawatan lain turut dipertandingkan iaitu Timbalan Pengerusi disandang oleh Khir Mohd Noor, Setiausaha (Haji Mohamad Zaini Hassan), Timbalan Setiausaha (Don Hoe), Bendahari (Loganathan Kanabathy), Timbalan Bendahari (Terry Chan) manakala 4 jawatan Ahli Jawatankuasa terdiri daripada Mohamed Faizal Syed Ariff, Elrafaei Sapi, Faisal Chal Ahmad dan Muhammad Aiman Mohammad Zaki.

 

PALING POPULAR

To Top