Umum

AFP kunjungi SPRM, perkukuh kerjasama strategik

Foto Facebook SPRM

Australian Federal Police (AFP) telah mengadakan kunjungan hormat ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan berhasrat untuk memperkukuhkan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.

Kunjungan yang telah diketuai Timbalan Pesuruhjaya (Keupayaan Pakar dan Antarabangsa) AFP, Lesa Gale telah disambut oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM, pada hari Rabu.

Tan Sri Dato’ Sri Azam telah menyambut baik hasrat AFP untuk mengadakan kerjasama pada masa hadapan selain turut berbincang mengenai beberapa agenda penting berkaitan jenayah rasuah dan salah guna kuasa melibatkan kedua-dua negara.

Katanya, “SPRM terbuka dan mengalu-alukan peluang kerjasama ini terutamanya berkaitan bidang siasatan kewangan serta perisikanselain peluang untuk memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai tanda kerjasama strategik antara kedua-dua negara”

MoU tersebut melibatkan pelbagai isu khususnya membabitkan rasuah termasuk pengubahan wang haram selain peluang mengadakan beberapa program latihan pada masa hadapan.

“SPRM juga akan sentiasa menyokong usaha AFP dan mengharapkan kerjasama serta sokongan yang berterusan terutamanya dalam perkongsian amalan terbaik bagi membanteras rasuah serta ‘grand corruption’ yang merupakan penyumbang kepada rasuah paling tinggi dalam negara,” katanya.

Turut hadir bersama AFP adalah Komander AFP Asia Tenggara, Warwick Macfarlan dan Pegawai Kanan AFP, Nick Moger, disertai Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang haram (AML) SPRM, Dato’ Mohamad Zamri Zainul Abidin.

 

 

PALING POPULAR

To Top