Umum

Ahli Bersatu sebulat suara mahu Muhyiddin kekal

Bersatu sebulat suara mahu mengekalkan Ahli Parlimen Pagoh dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai presiden parti itu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata ini kerana Ahli Parlimen Pagoh itu adalah Presiden yang dipilih oleh ahli parti.

Bercakap kepada media ketika hadir pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) sayap Pemuda Bersatu, Armada, di Menara PGRM, hari ini (Sabtu, 11 Mac 2023), Wan Saiful menjelaskan kedudukan Muhyiddin berbeza dengan dirinya.

“Setakat ini kita sebulat suara menyatakan bahawa kita mahu Muhyiddin kekal sebagai presiden.

Saya kena sebut bahawa (kedudukan Muhyiddin) berbeza dengan keduduakan saya.

“Saya adalah ketua penerangan yang dilantik, jadi, apabila dilantik maka saya rasa saya ada tanggungjawab untuk melepaskan jawatan tersebut.

“Tapi, Muhyiddin adalah pemimpin yang dipilih oleh ahli dan ahli menuntut supaya Muhyiddin kekal sebagai presiden,” katanya mengulas jika Muhyiddin perlu melepaskan jawatannya seperti mana yang dilakukan beliau.

Pada 22 Februari lalu, Wan Saiful mengumumkan peletakan jawatan Ketua Penerangan Parti Bersatu sehari selepas berdepan pendakwaan terpilih yang bermotif politik.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor melepaskan jawatan tersebut sebagai tanda mempertahankan integriti Perikatan Nasional (PN).

“Berikutan pendakwaan bermotifkan politik oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), saya mengambil keputusan untuk memohon Presiden dan seluruh Majlis Pimpinan Tertinggi membuat keputusan mengenai kedudukan saya sebagai Ketua Penerangan,” kata Wan Saiful.

Semalam, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berdepan tuduhan di mahkamah dalam apa yang dikatakan sebagai pendakwaan terpilih bermotifkan politik, bertujuan melumpuhkan Bersatu dan PN menjelang pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi.

Pada sidang medianya di luar Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada malam 9 Mac lalu, Muhyiddin mendedahkan pihak paling berkuasa dalam pentadbiran negara mengarahkan SPRM mendakwa beliau di mahkamah.

“Saya telah jelaskan semua ini kepada pegawai penyiasat SPRM. Dalam keadaan biasa, tiada asas untuk mendakwa saya di bawah mana-mana undang-undang.

“Tetapi telah ada arahan daripada pihak yang paling berkuasa dalam pentadbiran negara supaya saya didakwa.

“Jadi, walau apapun penjelasan yang saya berikan, saya tetap akan didakwa,” kata Muhyiddin.

PALING POPULAR

To Top