Umum

Pengeluaran KWSP melalui cagaran bank tidak dipersetujui, rakyat bakal terbeban

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, berkata kerajaan akan memperkenalkan kaedah membolehkan pencarum KWSP menggunakan wang caruman mereka sebagai cagaran kepada bank bagi tujuan pembiayaan.

Memandangkan skim (cagaran) itu dikatakan bagi golongan terdesak bagi mendapatkan pinjaman, ia dibantah sepenuhnya oleh Kesatuan Pekerja Bank Sarawak (SBEU).

Menurut, SEBU pencarum bakal berdepan risiko kadar faedah tinggi, selain kesanggupan bank mengeluarkan pinjaman, jika cagaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilaksanakan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Andrew Lo, berkata cadangan dikemukakan kerajaan bagi membenarkan cagaran KWSP untuk mendapatkan pinjaman bank dibuat tanpa penelitian sewajarnya.

Katanya, skim caruman KWSP dilindungi Akta KWSP antara lain melindungi dana itu daripada kebankrapan, jika pencarum tidak mampu membayar hutang.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) Azmi Mohd Tahir berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada pencarum menerusi emel dan khidmat pesanan ringkas yang membantah cadangan pengeluaran KWSP secara kaedah kolateral.

“PGIRM juga sudah mendapat makluman daripada peguam kami bahawa di dalam Akta KWSP di bawah Seksyen 51, menyatakan deposit caruman KWSP tidak boleh dicagarkan kepada pihak ketiga.

“Justeru cadangan itu akan membebankan rakyat yang sedia maklum tuntutan pengeluaran kecemasan bersasar itu bertujuan untuk menyelesaikan hutang yang tertunggak daripada pihak bank, pinjaman syarikat kredit, ceti haram, pinjaman kenalan terdekat dan permasalahan lain yang sedang dihadapi oleh rakyat sekarang ini,” katanya.

Manakala, Nurul Najjat, seorang kerani yang berkongsi pandangannya bertanya “Kenapa saya perlu berhutang untuk membayar hutang tertunggak? Saya perlukan wang tetapi tidak sanggup menanggung faedah yang dikenakan bank apatah lagi dalam situasi ekonomi ketika ini,” kata Nurul Najjat Mohd Yusof.

Katanya, kaedah kolateral dicadangkan kerajaan itu disifatkannya seperti menjerat leher pencarum yang terdesak.

“Sebelum ini pihak berkenaan menggalakkan rakyat tidak berhutang tetapi sekarang sebaliknya pula. Saya tak bersetuju dengan cadangan itu kerana apa gunanya berhutang dengan mencagarkan KWSP sedangkan kami boleh keluarkan duit sendiri.

Pekerja sektor perkapalan, L Amalraj, 34, pula berkata, setakat ini dia tidak bercadang mengeluarkan wang carumannya, namun mengakui cadangan yang diumumkan itu tidak membantu rakyat.

“Seperti tidak logik kerana kaedah itu dilihat hanya menguntungkan sebelah pihak saja dan pencarum pula yang perlu menanggung beban faedah yang menambah hutang mereka.

“Saya berpandangan biarlah pencarum yang betul terdesak mengeluarkan wang mereka tetapi boleh dihadkan peratusan pengeluaran wang itu kerana kita sedia maklum KWSP adalah simpanan untuk hari tua nanti,” katanya.

PALING POPULAR

To Top