Umum

Ahmad Zahid perlu berundur secara terhormat – Shahidan

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi digesa berundur secara terhormat bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Ismail Sabri menerajui parti itu ekoran kekalahan teruk BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, gesaan itu bagi mempercepatkan kerjasama antara Perikatan Nasional (PN), BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) membentuk kerajaan Pusat.

Menurutnya, gabungan berasaskan pembentukkan politik lebih stabil itu perlu berlaku serta-merta.

“Esok (Ahad) ada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Biro Politik, jadi saya rasa mereka patut meminta Ahmad Zahid berhenti secara terhormat.

“Dulu pada 2018, beliau telah meminta Datuk Seri Najib Razak (ketika itu Presiden UMNO) undur diri sewaktu BN kalah.

“Najib undur diri dan pada kali ini, MKT patut minta Ahmad Zahid undur diri. Dia masih ahli Parlimen dan teruskanlah menyokong parti,” katanya Kompleks Pas Perlis, di sini awal pagi ini.

Pada PRU15 kali ini, Shahidan memperoleh kemenangan yang membanggakan apabila menewaskan calon BN, Datuk Rozabil Abdul Rahman dan calon muda Pakatan Harapan (PH), Fathin Amelina Fazlie dengan majoriti sebanyak 23,216 undi.

Shahidan memberitahu, UMNO di bawah kepimpinan Ismail Sabri dilihat akan membawa kepada hasil perbincangan yang lebih baik antara PN, BN dan GPS.

“Saya tidak mahu kata lebih-lebih kepada Ahmad Zahid, cuma minta beliau bagi peluang kepada Ismail Sabri untuk memangku kepimpinan UMNO bagi mendapatkan hasil perbincangan lebih baik.

Sumber: Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top