Umum

Amelia Henderson berjaya dalam rayuan, tak perlu bayar RM200 ribu

Gambar Rotikaya

Pelakon, Amelia Henderson berjaya dalam rayuan di Mahkamah Tinggi pada hari Jumaat bagi mengetepikan keputusan yang memerintahkannya membayar RM200,000 kepada Syarikat A Aida Production Sdn Bhd berhubung isu pelanggaran kontrak sebuah drama tahun lalu.

Bagaimanapun, mahkamah menggantikan bayaran itu dengan memerintahkan pelakon popular berkenaan membayar ganti rugi nominal sebanyak RM10,000 dalam tempoh 14 hari.

Pesuruhjaya Kehakiman Leong Wai Hong berpandangan, pelakon itu perlu membayar faedah lima peratus setahun kepada produksi itu, bermula keputusan itu diputuskan.

Dalam keputusan disampaikan melalui aplikasi zoom, Wai Hong berkata “rayuan Amelia dibenarkan dengan perintah Mahkamah Sesyen diketepikan maka syarikat produksi ini hanya layak mendapat ganti rugi nominal berkenaan untuk pelanggaran kontrak.

“Ia mengambil kira Amelia telah mendapat bayaran pendahuluan sebanyak RM3,920.”

Dalam prosiding itu, Amelia diwakili peguam, Mansheel Kaur dan Wan Nurliyana Abdul Rahman manakala syarikat produksi itu diwakili peguam, Ashmadi Othman Bushro Anuar dan Lukman Haqeem.

Sebelum ini, Amelia memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkannya membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat produksi itu pada 18 April lalu.

Mahkamah telah memerintahkan Amelia membayar ganti rugi am selain faedah lima peratus kepada plaintif yang kesemuanya berjumlah lebih RM200,000.

Dalam penghakimannya ketika itu, mahkamah mendapati Amelia telah diikat dengan kontrak yang ditandatangani dalam drama Sekali Lagi Cinta Kembali.

Bagaimanapun pada bulan Ogos lalu, Amelia berjaya dalam permohonannya untuk menangguhkan permohonan maaf dan bayaran ganti rugi lebih RM200,000 terhadap syarikat produksi ini.

PALING POPULAR

To Top