Umum

Amir Hamzah dilantik Menteri Kewangan II, KWSP akan lantik CEO baharu

KWSP akan melantik CEO baharu susulan pelantikan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Menteri Kewangan II pada hari Selasa.

Menerusi suatu kenyataan, KWSP menjelaskan Amir Hamzah telah melaksanakan peranan penting dalam pertumbuhan dan kejayaan KWSP, serta memberikan komitmen tinggi terhadap kecemerlangan dan inovasi sepanjang perkhidmatannya sebagai CEO.

Jelasnya, antara pencapaian utama beliau termasuk memimpin KWSP melalui pelbagai kitaran ekonomi dan cabaran, di samping mencapai pertumbuhan positif dalam pendapatan pelaburan secara konsisten, tambah dana persaraan itu.

Menurutnya, hala tuju strategik dan kepimpinan Amir Hamzah nyata berkesan dalam mengekalkan daya tahan pelaburan dan operasi, selain memastikan KWSP menjadi tonggak kepada jaminan persaraan yang teguh untuk ahli.

“Pihak lembaga, pengurusan dan seluruh kakitangan KWSP mengucapkan tahniah kepada Amir Hamzah atas pelantikan sebagai Menteri Kewangan II dan yakin bahawa kepimpinan beliau akan menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Amir Hamzah merupakan teknokrat kedua di Kementerian Kewangan yang mempunyai latar belakang korporat selepas bekas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang pernah berkhidmat sebagai CEO Kumpulan dan Pengarah Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd dari 27 Feb, 2015 hingga 9 Mac, 2020.

Sebelum menyertai KWSP sebagai CEO pada Mac 2021, beliau merupakan Presiden dan CEO Tenaga Nasional Bhd (TNB) dari April 2019 hingga Februari 2021.

PALING POPULAR

To Top