Umum

Anwar digesa ‘pujuk’ bukan Melayu terima sistem pendidikan satu aliran

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diharap dapat menggunakan pengaruh kuatnya untuk mengajak kalangan bukan Melayu berikutan hanya Pengerusi Pakatan Harapan itu mampu memujuk dan menyelesaikan masalah, sekali gus melaksanakan sistem pendidikan satu aliran.

Pengerusi Biro Pendidikan Majlis Perundingan Melayu (MPM) Prof Emeritus Tan Sri Ibrahim Abu Shah berkata, ia berikutan apa yang dituntut dan diperjuangkan golongan bukan Melayu itu pada ketika ini bercanggah dengan Perlembagaan negara.

Sehubungan itu beliau menegaskan, sistem pendidikan satu aliran yang diperjuangkan bukan semata-mata untuk menjaga orang Melayu, namun membela nasib bangsa lain secara keseluruhannya.

“Pada hari ini, Perdana Menteri baharu (dilantik) disebabkan penerimaan dan sokongan padu terutama daripada orang Cina, sudah pasti dengan semangat beliau dapat memujuk orang-orang Cina supaya kembali ke pangkal jalan.

“(Meminta mereka) menerima asas Perlembagaan, apa yang mereka buat itu boleh dikatakan 100 peratus bercanggah dengan Perlembagaan,” katanya dalam sidang media di Wisma MPM Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, Ibrahim meletakkan keyakinan kepada Anwar sebagai pemimpin yang dilihat mampu menyelesaikan perkara itu, yang mana gagal dilaksanakan oleh bekas Perdana Menteri terdahulu.

Ini kerana beliau mendakwa, tidak melihat mana-mana pemimpin mampu memujuk dan menyelesaikan masalah terbabit kecuali Anwar berdasarkan kepada pengaruh serta sokongan yang diterima dalam kalangan bukan Melayu.

Dalam perkembangan lain, MPM akan mengemukakan memorandum yang mengandungi 62 tuntutan dan bertemakan ‘Membina Negara Makmur’ kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.

Sumber: Harian Metro

PALING POPULAR

To Top