Umum

Anwar membisu bila PH potong dana Bumiputera

Bersatu mempertikaikan tindakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berdiam diri berhubung isu peruntukan Bumiputera dipotong ketika PH menjadi kerajaan.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata sehingga kini Anwar mahupun Guan Eng masih tidak tampil memberi respons berkait dakwaan itu.

“Kenapa PH dan pemimpinnya Datuk Seri Anwar Ibrahim berdiam diri mengenai perkara penting yang melibatkan ekonomi Bumiputera sehingga kini? Di mana ketelusan yang sering disebut oleh PH?

“Sehingga kini tiada seorang pun dari PH atau Lim Guan Eng atau Anwar yang berani memberi respon terhadap pendedahan Azmin Ali itu. Rakyat berhak mengetahui.

“Anwar dan PH tidak wajar terus membisu,” katanya dalam satu kenyataan.

Ini susulan pendedahan dibuat Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Azmin Ali Ahad lalu berkait pemotongan peruntukan RM400 juta untuk Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) tanpa sebarang penjelasan diberikan menteri kewangan ketika itu, Lim Guan Eng.

Malah Azmin juga mendakwa perkara sama berlaku terhadap agensi lain yang diberi mandat untuk membela dan menjaga kepentingan Melayu seperti Felda dan Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas).

Sehubungan itu beliau mengemukakan bantahan bertulis kepada perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad namun tidak dilayan sebelum akhirnya berlaku ‘Langkah Sheraton’.

Sementara itu, Ahmad Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan sementara meragukan kemampuan Anwar membantah DAP yang merupakan parti dominan dalam PH.

“Jika dilantik perdana menteri, adakah Anwar mampu menjamin bahawa hak ekonomi Bumiputera Melayu akan dipertahankan, memandangkan bahawa DAP adalah parti dominan dalam Pakatan Harapan?

“Adakah Anwar pernah membantah dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan terhadap tindakan-tindakan yang memprejudis ekonomi Bumiputera oleh Menteri Kewangan DAP seperti di atas?

“Apakah pemimpin DAP akan sekali lagi diberi jawatan menteri kewangan jika PH dapat membentuk kerajaan selepas PRU15?” tanyanya.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top