Buletin

Bintulu dilanda banjir kilat, satu PPS dibuka

Hujan tanpa henti selama tiga jam menyebabkan beberapa kawasan di bandar ini mengalami banjir kilat, lewat malam tadi.

Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, antara kawasan yang terjejas termasuk Kampung Kamunting dan Gem Park.

Katanya, air naik tinggi di sesetengah tempat, hingga ke paras pinggang.

Kawasan lain yang dilaporkan terjejas ialah Kampung Baru, Desa Damai, Kampung Assyakirin dan Bukit Orang.

“Sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kemudian diisytiharkan sekitar jam 11.54 di Dewan Suarah Bintulu.

Ketika ini, tambah Ling Hii, pihaknya masih melakukan pemantauan rapi dan memindah segera mana-mana mangsa yang berada dalam zon bahaya.

Setakat malam tadi katanya, air menunjukkan trend menaik, sambil hujan turun lebat dan berangin.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak memberitahu, sehingga jam 4 pagi tadi, PPS tersebut menempatkan 71 mangsa daripada 24 keluarga.

“Pihak kita telah membekalkan mangsa dengan bantuan awal berupa kit kesegaran, kebersihan dan bantuan kelengkapan tidur,” katanya lagi.

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

To Top