Umum

Anwar tak faham isu Felda, kenapa saya perlu minta maaf?’ – Muhyiddin

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyoalkan mengapa beliau perlu memintaa maaf kepada Anwar Ibrahim?

“Anwar yang tidak faham isu,

“Yang kita bicarakan bukan tentang masalah Felda, kita cakap soal hutang peneroka”.

Demikian kata-kata Muhyiddin Yassin setelah beliau dituntut memohon maaf kepada Anwar atas fitnah yang dilemparkan.

Muhyiddin menegaskan, isu berhubung Anwar menandatangani dokumen berjumlah RM990 juta itu merupakan sebahagian pelupusan hutang Felda berjumlah RM8.3 bilion.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, apa yang beliau bangkitkan kepada Anwar termasuk mengemukakan surat tuntutan (LoD) adalah melibatkan pelupusan hutang peneroka, satu perkara berbeza.

Jelas Muhyiddin, masalah hutang peneroka itu telah pun diselesaikan sewaktu beliau menjawat jawatan Perdana Menteri.

Malah, kata beliau, perkara itu juga telah dibawa ke Parlimen dan dijawab sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang mengatakan perkara itu sudah dilaksanakan tetapi tidak diteruskan.

“Mungkin Anwar tak faham. Waktu saya jadi Perdana Menteri, dalam tempoh beberapa bulan telah disediakan satu laporan iaitu Kertas Putih Felda dilaksanakan (Datuk Seri Mohamed) Azmin (Ali) sebelum itu.

“Kedua, kita bentuk satu jawatankuasa dipimpin Tan Sri Wahid Omar untuk kaji isu pokok Felda itu sendiri. Jadi dalam kajian itu antara lain adalah memperakukan supaya kita hapus kira hutang peneroka Felda.

“Waktu itu kita dah umum dan dilaksanakan. Awalnya saya nak tahu betul ke Anwar kata saya tak buat, dia sahaja yang umumkan. Saya periksa dengan banyak pihak. Benar, sudah pun dihapus kira pada 2021. Semua data dalam rekod kita,” katanya kepada UtusanTV.

Mengulas lanjut, Muhyiddin menjelaskan, apa yang dibangkitkan Anwar adalah melibatkan penerbitan sukuk berjumlah RM9.9 bilion sebagai jaminan kerajaan kepada Felda.

Katanya, RM9.9 bilion itu diberikan kepada Felda dalam tempoh 10 tahun.

“RM990 juta itu diberi kepada Felda untuk memulihkan agensi itu. Ia bagi meningkatkan hasil, mengambil alih syarikat FGV dan sebagainya dalam tempoh 10 tahun.

“Ia supaya Felda dapat dipulihkan dan peneroka dapat pendapatan yang lebih baik.

“Kita tidak bicara pun soal itu tetapi soal hutang lapuk peneroka. Cuba la tanya menteri dia. Tanya Ketua Pengarah atau Pengerusi Felda.

“Saya kadang-kadang malu ada Perdana Menteri yang tidak faham dan selepas itu tohmah saya sedangkan saya tak lakukan kesalahan. Saya dah buat yang terbaik dan perkara itu dah dilaksanakan.

“Jadi jawablah kepada peguam saya, bukan dia suruh saya jawab. Saya dah jawab berkali-kali tapi dia tak faham,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin dalam kenyataan menegaskan akan meneruskan tindakan saman fitnah ke atas Perdana Menteri berhubung isu hutang peneroka Felda.

Ia selepas Anwar dikatakan gagal mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat dan secara terbuka kepada Muhyiddin dalam tempoh 24 jam seperti mana yang terkandung dalam surat tuntutan (LOD) yang dihantar peguamnya kepada Perdana Menteri.

Menurut Muhyiddin, dokumen yang dikeluarkan Anwar, hari ini bukanlah berkenaan pelupusan hutang peneroka Felda seperti yang dimintanya dalam LOD tersebut.

Pagi tadi, Anwar mengemukakan dokumen ditandatanganinya bagi meluluskan pelupusan hutang Felda berjumlah RM8.3 bilion.

Sehubungan itu, Perdana Menteri mendesak Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh untuk memohon maaf atas fitnah dilemparkan.

Semalam, Muhyiddin mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada Anwar berhubung kenyataan mengenai pelupusan hutang peneroka FELDA, selain menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Perdana Menteri.

LOD disediakan firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership bertarikh 18 Julai 2023 (Selasa) itu dihantar ke dua alamat Anwar iaitu di kediamannya di Kajang, Selangor dan Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.

Dalam pada itu LOD terbabit turut menuntut Perdana Menteri untuk mengemukakan surat atau dokumen yang beliau tandatangan sebagai Menteri Kewangan pada akhir Jun 2023 bagi meluluskan pelupusan hutang peneroka Felda bernilai RM8.3 bilion dalam tempoh 24 jam selain menarik balik kesemua kenyataan fitnah dan memadamkan penyiaran dari akaun Facebook serta laman web, platform ia disiarkan.

Anwar juga dituntut membuat permohonan maaf tanpa syarat dan terbuka secara bertulis, menyiarkan yang sama di akaun Facebook dan semua platform kenyataan berkenaan disiarkan.

Sumber: UtusanTV

PALING POPULAR

To Top