Umum

PN kemuka aduan kepada Jabatan Agama Negeri Sembilan selepas ahli tidak dibenar solat

Perikatan Nasional (PN) menghantar aduan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan selepas  jemaah yang memakai baju dengan logo parti itu tidak dibenarkan solat di Masjid at-Taufiqiah Taman Pinggiran Senawang dalam satu kejadian pada 16 Julai lalu. 

Dalam kejadian itu, individu dipercayai pengerusi masjid bertindak memarahi sekumpulan ahli PN menerusi mikrofon.

Pengerusi masjid itu tidak membenarkan mana-mana jemaah  yang memakai pakaian dengan logo parti politik untuk solat berjemaah dalam masjid. 

Mereka turut dihalau keluar dari masjid itu.

Video kejadian berkenaan turut tular di beberapa laman sosial. 

Ketua PN Rembau Nazree Yunus mengesahkan aduan itu kepada MalaysiaNow.

“Mereka memakai baju (dengan logo) kerana ada program pelancaran jentera PN dalam taman berkenaan.

“Maka ada anak-anak muda ingin menumpang solat di masjid,” katanya.

Aduan itu antara lain menyatakan, jemaah yang memakai baju PN tidak berniat untuk berkempen atau berpolitik dalam masjid, selain menggesa jabatan agama mengambil tindakan sewajarnya.

Susulan itu, Nazree memaklumkan satu laporan polis juga dibuat berhubung kejadian tersebut.

Masjid tersebut sebelum ini terpalit dengan kontroversi apabila kerajaan negeri membatalkan pelantikan pengerusi, setiausaha dan bendahari masjid meskipun sudah lulus dalam temu duga yang diadakan. 

Masjid lain yang terlibat dalam kontroversi itu ialah Masjid Ar-Raudhah Kariah Taman Rasa Sayang dan Masjid Bandar Baru Senawang.

MalaysiaNow sedang berhubung dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan untuk maklum balas berkenaan isu ini. 

Sumber: Malaysianow

PALING POPULAR

To Top