Umum

Apa motif Kit Siang bangkitkan tragedi 13 Mei, soal pemimpin Bersatu

Seorang pemimpin Bersatu menyelar tindakan terbaru pemimpin veteran DAP yang memberi amaran negara sedang menuju ke arah rusuhan kaum seperti yang berlaku ketika tragedi 13 Mei, lebih lima dekad lalu dengan mempersoalkan apakah motif utama yang ingin disampaikan di sebalik kenyataan tersebut.

Timbalan Ketua Bersatu Shah Alam Dr Afif Bahardin berkata, sehingga kini beliau sebagai rakyat Malaysia masih berasa selamat dan bebas bergerak ke mana sahaja berjumpa dengan rakan-rakan tanpa sebarang ancaman apabila berada berdekatan dengan kaum-kaum yang lain.

Beliau juga melihat perkara yang sama setiap kali keluar dari rumah seperti kaum Cina menikmati minuman petang di restoran, kaum India menikmati roti canai di kedai makan dan kaum Melayu membeli buah-buahan di gerai berdekatan dengan selamat dan aman.

“Tak timbul 13 Mei.

“Apa perlu Kit Siang sebut benda ini? Kenapa kena sebut ketika nak pilihan raya?” katanya dalam satu ceramah sempena Karnival Anak Muda Bangkit Selangor Baharu di Shah Alam malam tadi.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Lim pada Rabu yang menegaskan Malaysia kini semakin hampir ke arah tepian sebuah lagi rusuhan 13 Mei 1969 merujuk kepada peristiwa rusuhan kaum disebabkan kemuncak konflik perpaduan di Malaysia dan terus menjadi salah satu titik hitam yang dalam sejarah negara.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata hubungan kaum “semakin merosot” tahun ini dan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti akan menunjukkan sama ada Malaysia boleh kembali kepada prinsip asal membina sebuah negara majmuk.

Mengulas lanjut, Afif berkata kenyataan oleh si bapa, manakala anaknya, Lim Guan Eng pula mengeluarkan kenyataan yang disifatkannya sangat kurang ajar dan biadab kerana menuduh pentadbiran oleh parti Melayu Islam akan merobohkan kuil dan tokong selain menafikan hak beragama di Pulau Pinang.

Alif bertegas menyatakan sehingga hari ini pengerusi DAP itu masih belum memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana tiada satu pun insiden merobohkan rumah ibadat mana-mana agama dilakukan disebabkan sentimen politik dan agama.


Sebaliknya ianya direkodkan berlaku atas faktor pentadbiran dan pengurusan tanah dan perkara itu bukan berlaku hanya di negeri-negeri tertentu bahkan juga di Pulau Pinang.

“Ini adalah kenyataan yang paling rasis pernah dikeluarkan dalam musim PRN kali ini.”

Katanya, ini juga bukan kali pertama bekas ketua menteri Pulau Pinang itu bertindak mengeluarkan kenyataan dalam bahasa Mandarin dan Hokkien untuk menghasut masyarakat Cina.

“Ini ahli politik yang rasis.

“Orang macam ni tak layak untuk tinggal di Malaysia dan kacau keharmonian kita.

“Saya nak tanya Saifuddin Nasution, saya nak tanya Anwar Ibrahim, saya nak tanya peguam negara, mengapa Guan Eng masih tidak lagi didakwa di mahkamah?

“Mengapa ‘double standard’.”

Sumber: MalaysiaNow

PALING POPULAR

To Top