Umum

Sanusi masih layak tanding, kekal calon PAS, kata Tuan Ibrahim

PAS akan mengekalkan Sanusi Nor sebagai calon PRN pada bulan depan kerana beliau belum hilang kelayakan bertanding dan hanya berdepan pendakwaan di mahkamah.

Timbalan Presidennya PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata keputusan itu diputuskan Majlis Syura yang bermesyuarat semalam.

“Kita telah putuskan bahawa beliau (Sanusi) dikekalkan sebagai (calon) pilihan pertama. Tak ada masalah sebab dia akan bicara pun pada Oktober nanti,” katanya menurut Sinar Harian.

Selasa lalu, Sanusi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang terhadap dua pertuduhan menghasut terhadap raja, berkait ucapannya dalam satu ceramah di Taman Selayang Mutiara, Gombak pada 11 Julai.

Dua pertuduhan itu dibuat di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Katanya, PAS juga bersedia berdepan sebarang kemungkinan apabila mahkamah membuat keputusan terhadap kes Sanusi.

Sumber: FMT

PALING POPULAR

To Top