Umum

‘Arwah sangat penyayang’ – Isteri Mohd Firdaus sebak kenang detik terakhir bersama

Suasana pilu mengiringi pengebumian anggota bomba Mohd Firdaus Sulaiman, 28, yang meninggal dunia pada Isnin selepas terkena letupan ketika operasi memadam kebakaran di sebuah kilang memproses habuk kayu di Segamat, Johor pada Sabtu.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Qaryah Masjid Jamek Dato’ Klana Petra Sendeng, Ampangan di sini kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Sebelum itu lebih 200 ahli keluarga, rakan, penduduk serta pegawai bomba hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Allahyarham yang tiba di Surau Al Falah, Taman Desa Rhu di Sikamat di sini.

Turut memberi penghormatan, Ketua Pengarah Bomba Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, Pengarah JBPM Negeri Sembilan, Hamdan Ali dan Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis.

Yahaya yang ditemui pemberita berkata, Allahyarham yang sudah berkhidmat selama sembilan tahun akan dinaikkan pangkat daripada Gred Keselamatan Bomba (KB) 19 ke KB 22.

“Arwah seorang anggota yang bagus, rajin dan mudah memberi bantuan. Kita amat terasa kehilangannya yang merupakan seorang anggota yang berdedikasi,” katanya.

Sementara itu isteri Allahyarham, Nurul Jannah Abd Hamid Khan, 29, berkata, sebelum tragedi itu, Allahyarham sempat menyambut hari lahirnya pada 9 Disember lalu tetapi dilihat lebih banyak berdiam diri.

Katanya, biasanya Allahyarham hanya akan meraikan hari lahirnya selepas beberapa hari tetapi tidak pada kali ini.

“Arwah baik orangnya dan sangat penyayang. Cuma saya perasan dalam seminggu ini dia banyak berdiam diri.

“Pada 9 Disember lalu dia teruja untuk menyambut hari lahir saya dengan meriah.

“Sebelum ini, biasanya selepas beberapa hari baru dia raikan. Itulah yang nampak pelik sikit,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian.

Bercerita sebelum tragedi menimpa Allahyarham, Nurul Jannah berkata, dia ada menghubungi Allahyarham untuk menghantar makanan.

“Dia hanya memaklumkan tidak tahu akan balik atau tidak. Jadi makanan itu tidak perlu hantar sedangkan saya sudah membeli makanan itu.

“Ketika itu saya ada berhampiran balai bomba sahaja tetapi selepas sejam menghubunginya, saya diberitahu berlaku kejadian letupan sebuah kilang dan arwah terlibat dalam operasi itu,” katanya.

Kata Nurul Jannah, ketika di hospital dia sempat mengajar Allahyarham mengucap sebelum menghembuskan nafas terakhir.

“Saya terkilan kerana Allahyarham tidak sempat masuk ke rumah baharu kami di Segamat bulan ini.

“Kami kini tinggal menyewa dan sepatutnya bulan ini akan pindah ke rumah baharu,” katanya.

Suasana pilu mengiringi pengebumian anggota bomba Mohd Firdaus Sulaiman, 28, yang meninggal dunia pada Isnin selepas terkena letupan ketika operasi memadam kebakaran.

Nurul Jannah turut memberitahu, anak tunggal mereka, Aisy Alisha, 3, masih belum tahu bapanya meninggal dunia.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Allahyarham yang bertugas di BBP Bandar Baru Segamat yang cedera parah akibat terkena letupan ketika operasi memadam kebakaran di sebuah kilang memproses habuk kayu di Segamat pada Sabtu meninggal dunia, awal pagi Isnin.

Allahyarham meninggal dunia di Hospital Segamat pada jam 4.15 pagi.

*Berita asal di Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top