Umum

Bantuan Awal Persekolahan diagih mulai 17 Jan

Pengagihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada murid yang bakal memasuki Tahun 2 hingga Tingkatan 5 pada 21 Mac depan bagi sesi persekolahan tahun 2022/2023 bakal dilaksanakan mulai 17 Januari ini.

Jelas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), bantuan ini akan memanfaatkan 3 juta penerima dalam kalangan isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah.

Dalam kenyataannya pada Jumaat, bantuan ini akan diberikan kepada murid Tahun 1 hingga Tingkatan 4 yang sedang dalam sesi persekolahan bagi tahun 2021/2022 yang layak.

Jelas KPM, bagi murid Tahun 1 yang akan mula mendaftar masuk sekolah pada 21 Mac 2022, pemberian BAP akan dilaksanakan selepas proses pendaftaran selesai.

Kerajaan juga bersetuju untuk meningkatkan kadar BAP kepada RM150 untuk seorang murid berbanding RM100 sebelum ini.

Pemberian BAP akan dibuat secara tunai atau dikredit ke akaun bank bagi murid yang mempunyai akaun bank.

KPM yakin pemberian BAP ini akan dapat membantu ibu bapa dan penjaga membuat persiapan awal anak-anak untuk memulakan persekolahan.

PALING POPULAR

To Top