Buletin

Malaysia sentiasa terbuka untuk pelaburan asing – Muhyiddin

Walaupun sebahagian sempadan negara masih lagi ditutup buat masa ini, namun Malaysia tetap membuka laluan bagi pelaburan asing pada masa ini kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata pandemik ketika ini adalah satu cabaran yang besar bagi Malaysia, namun negara harus merebut peluang yang tersedia ada.

“Jelas bahawa peluang untuk membina semula ekonomi dan masyarakat kita kepada keadaan yang lebih baik berbanding era sebelum pandemik COVID-19 adalah amat besar”.

Beliau yang menghadiri Majlis Makan Tengah Hari Perangkaian Pemulihan Negara di Expo 2020 Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada semalam, telah menjanjikan kukuhnya kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan antarabangsa kepada lebih 40 kapten industri dari 10 buah negara.

“Di Expo 2020 Dubai, saya mengunjungi Pavilion Malaysia yang direka oleh firma tempatan Hijjas Arkitek and Partners. Expo ini merupakan siri expo dunia yang diadakan setiap 5 tahun dan berlangsung selama 6 bulan. Ia menjadi platform untuk Malaysia mengukuhkan kedudukan sebagai destinasi pelaburan antarabangsa,

Selain itu, “Penyertaan Malaysia di expo ini telah mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan UAE, susulan lawatan rasmi saya selaku Perdana Menteri pada Mac 2021. UAE merupakan rakan dagang dan destinasi eksport terbesar Malaysia dalam kalangan Majlis Kerjasama Teluk ataupun Gulf Cooperation Council (GCC),” ujarnya di hantaran laman Facebook beliau.

Sehingga kini, Malaysia telah berjaya menjana potensi perdagangan dan pelaburan bernilai RM35.2 bilion di expo ini melalui 71 Memorandum Persefahaman, Memorandum Kerjasama dan Surat Niat.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi atas kejayaan menganjurkan Pavilion Malaysia yang telah menarik perhatian lebih 500,000 pengunjung sehingga hari ini.

Tambahnya lagi, “Saya juga mengucapkan mengucapkan tahniah kepada kerajaan dan rakyat UAE sempena ulangtahun ke-50 Emiriah Arab Bersatu, #YearoftheFiftieth yang disambut pada Disember lepas,

“Semoga hubungan erat kedua buah negara terus dipertingkat untuk 50 tahun ke hadapan demi manfaat kemakmuran bersama, insyaAllah”.

Majlis ini juga telah disertai pengurusan kanan syarikat multinasional seperti seperti Ericsson dan Elekta dari Sweden, Lulu Group dari UAE dan Saudi Aramco dari Arab Saudi.

PALING POPULAR

To Top