Umum

Bayi berusia 8 bulan maut selepas ditinggalkan dalam kereta

Gambar Hiasan. Foto Kredit Unsplash

Seorang bayi perempuan berusia 8 bulan disahkan meninggal dunia selepas ditinggalkan selama 10 jam di dalam kereta oleh ibunya di tempat letak kenderaan di sebuah hospital di Cheras.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner, Zam Halim Jamaluddin berkata, siasatan awal mendapati ibu mangsa yang berumur lingkungan 30-an itu bertugas sebagai doktor di hospital dimana kereta itu diletakkan.

Menurut laporan, wanita berkenaan meletakkan mangsa di bahagian penumpang belakang sebelah kiri untuk dihantar ke taska sekitar jam 7.20 pagi itu.

Menurut laporan berita, Asisten Komisioner Zam Halim berkata “Bagaimanapun, ibu mangsa terus memandu keretanya ke tempat kerja dengan anggapan mangsa sudah dihantar ke taska”.

Kejadian tersebut disedari ibu mangsa apabila mangsa didapati masih berada di dalam kereta ketika petang selepas dimaklumkan oleh suaminya bahawa mangsa tidak dihantar ke taska.

Sehubungan itu, siasatan awal juga mendapati pegawai perubatan hospital berkenaan menerima mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri pada jam 5.53 petang.

Berikutan itu, pemeriksaan lanjut telah mengesahkan mangsa telah meninggal dunia akibat kejadian itu.

“Polis akan merakam keterangan ibu mangsa berkaitan kejadian” kata Asisten Komisioner Zam Halim dalam kenyataan.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak,” katanya

PALING POPULAR

To Top