Umum

Bayi lelaki ditemui di kawasan pembuangan sampah

Seorang bayi lelaki cukup sifat dipercayai baru dilahirkan ditemukan di kawasan pembuangan sampah di Taman Indah Permai berhampiran sebuah pasar raya di sini malam ini.

Bayi itu ditemukan orang awam yang melintas di kawasan itu kira-kira 7 malam tadi sebelum bertindak menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Supt George Abd Rakman ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membuang bayi.

“Polis yang tiba di lokasi kejadian menjalankan siasatan dan bayi terbabit diserahkan kepada petugas kesihatan untuk tindakan selanjutnya…siasatan masih dilakukan terutama bagi mengesan suspek terlibat,” katanya di sini.

Beliau berkata bayi itu kemudiannya dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas untuk rawatan lanjut dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi pihak polis.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top