Politik

Biarkan mereka ‘terbang’ – Faizal Azumu

Seluruh anggota masyarakat perlu yakin terhadap kemampuan anak muda menggunakan kuasa yang diberikan untuk menentukan masa depan negara apabila terlaksananya Undi18 nanti.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pada masa sama golongan itu perlu dipandu dan dibentuk pemikiran agar boleh berfikir dengan matang dalam memilih kepimpinan negara dalam proses demokrasi.

“Kalau yang berusia 17 tahun kita boleh bagi kebenaran untuk memandu di jalan raya, menjaga nyawa manusia dan sebagainya, kita kena let them fly.

“Kita mesti yakin mereka akan membuat keputusan yang betul tetapi usaha-usaha yang kita semua kena buat, pengamal media, ahli politik, ibu bapa mesti main peranan masing-masing untuk membentuk anak-anak muda ini demi kebaikan mereka,” katanya

Dalam bersetuju, beliau turut risau tentang pendedahan golongan ini kepada kepelbagaian kandungan di media sosial yang kebanyakannya boleh mencemarkan pemikiran anak muda yang menjadi pengguna paling ramainya.

Bercakap dalam program Agenda AWANI pada Rabu, beliau khuatir pertimbangan mereka nanti dipengaruhi faktor seronok sehingga mengetepikan unsur penting yang meletakkan nilai kebolehan seseorang personaliti itu untuk memimpin masyarakat ke matlamat yang murni.

“Jangan kerana kita ada kuasa untuk memilih boleh terlibat dalam politik sehingga kita merosakkan hubungan kekeluargaan, jangan sehingga kita terlalu dah ada kuasa berpolitik tapi anak-anak muda ini yang terlalu dekat dengan media sosial, influencer di TikTok itu dilihat sebagai seorang yang boleh memimpin negara.

“Bukan saya kata tak boleh, tetapi jangan terlalu ke arah itu kerana seorang remaja 18 tahun kalau begitu tertarik kepada influencerberpakaian seksi dalam Instagram dan orang itu pula menjadi calon, dia pilih, apa nak jadi kita ini?” kata Ahmad Faizal.

Namun, hos Nailah Huda turut menyuarakan kebimbangannya, bukan terhadap anak muda tetapi kepada pendidikan politik dan tahap kematangan seluruh rakyat Malaysia secara amnya.

Ini kerana senario yang berlaku hari ini jelas, antaranya ramai orang dewasa juga mudah percaya dan menyebarkan berita palsu yang diterima dalam aplikasi permesejan dan laman media sosial masing-masing tanpa berfikir jauh tentang kebenaran serta kesannya tindakannya itu.

Justeru, Ahmad Faizal berkata, kerana itu ia menjadi tanggungjawab semua pihak untuk membentuk generasi akan datang yang lebih waras dan bijak supaya masyarakat dewasa pada masa akan datang tidak akan mengulangi kesilapan sama.

PALING POPULAR

To Top