Umum

Beberapa lagi Ahli Parlimen PN bakal menyokong PM

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mendedahkan terdapat beberapa lagi ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) bakal mengumumkan sokongan secara terbuka terhadap pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di kediamannya pada hari Isnin yang turut 7 hingga 8 orang ahli Parlimen berkenaan akan membuat kenyataan mengenai perkara tersebut dalam masa terdekat.

Ditanya sama ada mereka terdiri daripada ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau Pas, beliau hanya meminta untuk menunggu pengumuman daripada individu terlibat.

“(Ahli Parlimen PN) Ada berapa negeri, semua dari kawasan Melayu. Ada yang berhubung dengan saya, ada yang berhubung dengan orang lain,” katanya.

Terdahulu, Syed Abu Hussin ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat mengisytiharkan sokongan kepada Anwar dan menjadikan beliau ahli parlimen pembangkang yang kelima daripada Bersatu untuk melakukan demikian.

Empat yang lain ialah Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).

Syed Abu Hussin dalam mengulas perkara tersebut, menjelaskan tiada sebarang pertemuan berlaku antara pemimpin Bersatu atau PN untuk berbincang dengannya.

“Saya tidak melanggar peraturan parti sebab dalam Perlembagaan (Bersatu) tidak melarang sesiapa untuk berikan sokongan (kepada Perdana Menteri).

“Jadi apa yang saya lakukan tidak langgar (peraturan) parti. Kalau parti nak ambil tindakan, mereka akan bawa ke jawatankuasa disiplin dan memutuskan apa bentuk tindakan yang boleh diambil. Saya bersedia,” ujarnya.

PALING POPULAR

To Top