Umum

Pelaburan diluluskan Malaysia melonjak 51.5 peratus

MALAYSIA mencatatkan pertumbuhan pelaburan diluluskan yang amat memberangsang iaitu 51.5 peratus tahun ke tahun kepada RM177.8 bilion, melibatkan 3,037 projek, dalam tempoh Januari hingga September 2021.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pelaburan diluluskan itu, terdiri daripada sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama, dijangka menghasilkan 79,899 pekerjaan di negara ini.

“Prestasi cemerlang negara ini sememangnya bukti keyakinan kukuh pelabur terhadap Malaysia sebagai hab pelaburan pilihan, khususnya ekosistem perniagaan kita yang kondusif dalam menyediakan bakat berkemahiran tinggi selain mempunyai ketersediaan kukuh dalam teknologi canggih.

“Ini dapat meningkatkan lagi peranan kita sebagai tapak terkemuka dalam rangkaian pembuatan syarikat global, sekali gus melonjakkan kedudukan Malaysia sebagai perintis, destinasi pelaburan terkenal di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada Khamis.

Mohamed Azmin berkata, sektor pembuatan menyumbang 58.4 peratus, berjumlah RM103.9 bilion daripada jumlah pelaburan, diikuti sektor perkhidmatan RM57.8 bilion (32.5 peratus) dan sektor utama RM16.1 bilion (9.1 peratus).

Pelaburan langsung asing (FDI) menguasai hampir 60 peratus daripada pelaburan diluluskan dengan sejumlah RM106.1 bilion manakala Singapura, China, Austria, Jepun dan Belanda merupakan lima negara FDI teratas yang menyumbang hampir 85.3 peratus atau RM90.6 bilion daripada jumlah itu.

Walaupun FDI menerajui pelaburan diluluskan dalam pelaburan sektor pembuatan, pelaburan oleh syarikat tempatan mendominasi dalam sektor-sektor perkhidmatan dan utama.

Dalam tempoh sembilan bulan itu, pelaburan langsung domestik (DDI) berjumlah RM71.7 bilion atau 40.3 peratus daripada jumlah pelaburan diluluskan.

PALING POPULAR

To Top