Umum

Bekas CEO anak syarikat kerajaan didakwa salahguna kuasa

Bekas CEO (ketua pegawai eksekutif) sebuah anak syarikat kerajaan negeri Melaka didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan penyalahgunaan kuasa.

Berdasarkan pertuduhan, Amir Ali yang berusia 57 tahun sebagai Pegawai Badan Awam iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Halal Hub telah menggunakan jawatan melantik anak perempuannya sebagai Pegawai Kewangan W41 di syarikat tersebut.

Amir Ali yang tertuduh itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Elasabet Paya Wan.

Tindakan itu dikatan telah dilakukan di Syarikat Melaka Halal Hub Sdn Bhd, Bangunan Anchor Kawasan Perindustrian Melaka Halal Hub Serkam di Jasin pada 1 April 2021 lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Sekiranya disabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali telah mencadangkan jaminan antara RM7,000 hingga RM15,000 selain syarat tambahan agar tertuduh melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sehubungan itu, peguam mewakili tertuduh, Azrul Zulkifli Stork merayu jumlah jaminan dikurangkan kepada RM3,000 memandangkan tertuduh menyara sembilan orang anak dan isteri menghidap penyakit kencing manis.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 serta bersetuju dengan semua syarat tambahan yang dipohon oleh pihak pendakwaan.

Hakim telah menetapkan 2 November sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

PALING POPULAR

To Top