Umum

Bekas pemotong bekalan elektrik didenda RM6,000

Seorang bekas pemotong bekalan elektrik didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas dua pertuduhan kes rasuah sebanyak RM650 agar tidak memotong bekalan elektrik di dua rumah, Januari tahun lalu.

Muhammad Syauqi Mohammad Kamil, 27, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibaca di hadapan Hakim Rozilah Saleh.

Mahkamah turut memerintahkan pemuda itu dipenjara tiga bulan bagi setiap pertuduhan jika gagal membayar denda.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai seorang pemotong bekalan di sebuah syarikat telah diberikan wang suapan masing-masing RM400 dan RM250 daripada dua lelaki melalui akaun simpanan bank milik tertuduh.

Ia sebagai dorongan kepada tertuduh supaya tidak memotong bekalan elektrik di rumah yang diduduki oleh dua individu tersebut.

Ia yang mana telah melanggar peruntukan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan tertuduh tidak melaporkan pemberian suapan tersebut kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta polis.

Kesalahan didakwa dilakukan di Malayan Banking Berhad Cawangan Setia Alam pada 8 dan 9 Januari 2020.

Atas kesalahan itu, dia yang kini menganggur didakwa di bawah Seksyen 25 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25 (2) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab Wahab dan Pegawai Pendakwa Mohd Aliff Shaharuzaman, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Fadly Hashim serta Zamri Idrus.

*Berita asal di Sinar Harian

 

PALING POPULAR

To Top