Umum

Bekas setiausaha, bendahari UMNO bahagian direman 7 hari kerana seleweng RM600,000

Dua lelaki yang juga bekas setiausaha dan bendahari UMNO bahagian di Pulau Pinang, direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salahguna kuasa dengan mengeluarkan wang parti itu berjumlah RM600,364.87 bagi kegunaan peribadi dan syarikat milik sendiri.

Perintah tahanan reman terhadap lelaki berusia 49 dan 73 tahun itu dikeluarkan Majistret Georgetown, Rosnee Mohd Radzuan, bermula hari ini hingga 19 September depan.

Ia bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dilakukan terhadap kedua-duanya.

Kedua-dua lelaki berkenaan diwakili peguam, Norhisham Shaidi.

Terdahulu, kedua-dua suspek tiba di pekarangan Mahkamah Georgetown, di sini pada jam 10.15 pagi dengan memakai baju lokap SPRM.

Difahamkan, dua lelaki terbabit ditahan SPRM Pulau Pinang semalam selepas menerima aduan mengenai penyalahgunaan kuasa ketika mereka memegang jawatan itu.

Sekitar 2018, kedua-dua lelaki berkenaan disyaki bersubahat dalam menggunakan kedudukan mereka bagi mendapatkan wang rasuah menerusi pengeluaran wang daripada akaun bank milik UMNO Bahagian.

Wang terbabit dipercayai bagi kegunaan diri mereka sendiri serta kepada syarikat milik mereka iaitu sebuah yayasan dan kebajikan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM600,364.87.

Kedua-duanya adalah pengarah kepada yayasan itu.

Sumber: Berita Harian

PALING POPULAR

To Top