Umum

Berita baik untuk penggiat seni

Berita baik menanti pekerja seni apabila Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, kelmarin, melayangkan ciapan bakal mengambil inisiatif merangsang industri kreatif yang dibuka semula selepas kerajaan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) sektor itu.

Melalui ciapan itu, Annuar memberitahu, pertemuan dengan sekumpulan penggiat seni membolehkan pelbagai isu dibincang dan diperhalusi terutama impak penularan pandemik COVID-19 terhadap sektor kreatif.

“Berjumpa dengan beberapa artis tempatan untuk mendengar isu berkait dengan industri kreatif negara. Profesion ini mesti dibela dan diberi sokongan agar dapat terus berkembang.

“Terima kasih semua… Saya dan kementerian akan memperhalusi perbincangan kita supaya tindakan dapat dibuat,” katanya melalui ciapan itu.

Kelmarin, Annuar mengadakan pertemuan dengan beberapa artis iaitu Datuk Fizz Fairuz, Zizan Razak, Nabila Huda, Ummi Nazeera, Mawar Rashid, Raf Yaakob dan Aishah Azman di pejabatnya di ibu negara, bagi membincangkan soal kebajikan penggiat seni dan pelbagai isu lain.

Sementara itu, Ummi berkata, dia dan teman-teman membangkitkan isu kebajikan penggiat seni dan pembukaan semula industri kreatif susulan kelonggaran SOP sejak 9 September lalu.

“Saya kumpulkan beberapa teman artis untuk bertemu Annuar yang juga kenalan arwah bapa saya.

“Beliau memang mahu bertemu ramai penggiat seni untuk mendengar masalah berbangkit, bertukar-tukar idea dan ‘input’ daripada kita.

“Dalam hal ini, saya puji pendekatannya untuk lebih dekat dengan rakyat mahupun anak seni,” kata pelakon filem Penanggal itu.

Ummi atau nama penuh, Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abadin berkata, mereka membangkitkan pelbagai perkara yang menimpa penggiat seni selepas 18 bulan sektor kreatif diuji impak penularan pandemik COVID-19 hingga terputus rezeki dan menjejaskan periuk nasi.

Tambahnya, hasil perbincangan cukup positif kerana Annuar berjanji mengusahakan sesuatu untuk penggiat seni.

“Saya fikir biarlah beliau mendedahkan perincian dan perancangan yang mahu dibuat selepas ini. Insya-Allah, apa yang boleh saya katakan, Annuar sedang mengusahakan sesuatu yang besar dan bermanfaat untuk penggiat seni.

“Kita tunggu dan lihat… Mudah mudahan menjadi kenyataan. Saya secara peribadi berharap nasib penggiat seni akan lebih terbela,” katanya.

Tambah ibu kepada dua anak perempuan ini, Annuar berjanji akan terus aktif bertemu penggiat seni.

“Saya dimaklumkan beliau akan terus mengadakan pertemuan dan mesyuarat dalam usaha mendekati penggiat seni.

“Lebih ramai lagi penggiat seni yang bukan saja artis akan diajak turut serta selepas ini. Semuanya berpaksikan kepada niat mahu mendengar sendiri masalah atau apa saja cetusan idea yang dikongsi,” katanya.

PALING POPULAR

To Top