Umum

Bertengkar dengan jiran, warga emas maut dipukul dengan kayu

Hanya kerana menanam pokok di laluan masuk ke rumah, seorang warga emas berusia lewat 60-an maut dipukul jirannya.

Menurut Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun kejadian dipercayai berlaku di jalan Kelocor di sini tengah hari tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 12.20 tengahari, pihak polis menerima laporan berhubung satu pergaduhan membabitkan dua lelaki berbangsa Cina.

“Sejurus menerima laporan Unit Rondaan MPV telah ke tempat kejadian dan menemui mangsa, seorang warga emas berusia lewat 60-an dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terbaring di bahagian dapur rumahnya.

“Hasil pemeriksaan daripada penolong pegawai perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu yang hadir ke tempat kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

Mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk dibedah siasat.

Muhamad Zaki berkata, hasil siasatan awal pihak polis, mangsa yang tidak bekerja serta tinggal berdua bersama isterinya berusia awal 70-an dipercayai terlibat dalam pertengkaran dengan jirannya.

“Hasil siasatan awal dipercayai pergaduhan berpunca daripada perselisihan faham di antara mangsa dengan suspek, yang mana suspek juga merupakan jiran mangsa.

“Suspek telah bertindak memukul mangsa menggunakan sebatang kayu dan mangsa telah bertindak melarikan diri pulang ke rumahnya, sebelum mangsa ditemui oleh isterinya dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri di bahagian dapur.

“Kejadian pergaduhan dipercayai berlaku di laluan hadapan rumah suspek yang bertentangan dengan bahagian belakang rumah mangsa,” jelasnya.

Beliau berkata hasil pemeriksaan awal ke atas tubuh badan mangsa mendapati ada kesan luka dan bengkak pada bahagian belakang kepala serta kesan calar pada tangan.

Susulan itu, pihak polis telah berjaya menahan suspek serta merampas sebatang kayu yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa.

“Hasil soal siasat yang dijalankan, suspek mengaku telah memukul mangsa menggunakan sebatang kayu dan suspek memaklumkan kejadian berpunca daripada rasa tidak puas hati kerana mangsa telah menanam pokok di laluan jalan menyebabkan kenderaan milik suspek sukar melalui jalan tersebut,” katanya.

Hasil bedah siasat yang dijalankan oleh pakar perubatan mendapati sebab kematian mangsa adalah kerana serangan jantung dan pada masa yang sama berlakunya kecederaan yang menyebabkan kesakitan sehingga berlakunya serangan jantung tersebut.

Suspek merupakan lelaki berbangsa Cina berusia pertengahan 60-an tidak bekerja.

Suspek akan direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

PALING POPULAR

To Top