Umum

Bil elektrik dijangka naik, rakyat perlu bersedia

PENGGUNA domestik dijangka dikenakan surcaj ke atas bil elektrik bulan depan susulan kenaikan harga bahan api yang berpunca daripada konflik Rusia-Ukraine yang bermula awal tahun ini.

Tenaga Nasional Berhad (TNB), seperti kebanyakan syarikat kuasa di seluruh dunia, mengalami kesukaran untuk mengekalkan kadar pada paras semasa, terutamanya di bawah bebanan kenaikan harga arang batu.

Harga arang batu, yang menguasai hampir separuh daripada keperluan penjanaan kuasa negara, telah meningkat empat kali ganda sejak perang meletus.

Sebagai contoh, harga arang batu Newcastle mencecah rekod tertinggi USD440 (RM1,945) se-tan pada awal Mac, daripada USD67.5 (RM 298) sebelumnya, disebabkan oleh kebimbangan kekurangan bekalan selepas negara Barat mengenakan sekatan ke atas sistem kewangan dan produk tenaga Rusia, selepas serangan ke atas negara jirannya.

Menurut laporan The Vibes yang memetik sumber, kerajaan sedang mempertimbangkan perkara itu, terutamanya kerana kos itu akan menjadi beban buat semua pengguna domestik.

Tambahan pula, terdapat formula ‘Imbalance Cost Pass-Through’ (ICPT), yang disemak setiap enam bulan, di mana kos bahan api boleh dimasukkan ke dalam bil pengguna akhir dan semakan ICPT seterusnya akan dibuat bulan depan.

Walaupun surcaj telah dikenakan kepada pengguna komersial, ini adalah kali pertama ia akan dilaksanakan untuk pengguna domestik. Kuantum surcaj akan diputuskan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).

Kerajaan memutuskan pada Januari bahawa tarif kekal pada 39.45 sen sekilowatt-jam (kWj), dan pengguna domestik akan terus menikmati rebat 2 sen/kWj tanpa sebarang tambahan.

Januari lalu, ST berkata kerajaan telah menggunakan dana yang ada berjumlah RM715 juta daripada Kumpulan Wang Industri Elektrik yang terkumpul daripada sumbangan industri, untuk mengekalkan rebat semasa untuk pengguna domestik.

Menurut laman web TNB, mekanisme ICPT membolehkan mereka menjangkakan perubahan, sama ada peningkatan atau pengurangan, dalam bahan api dan kos berkaitan penjanaan lain dalam tarif elektrik setiap enam bulan.

Melalui pembacaan ICPT, kerajaan menetapkan sekiranya berlaku penurunan harga bahan api global dan kos penjanaan, penjimatan akan dikembalikan kepada orang ramai dalam bentuk rebat, dan sekiranya berlaku kenaikan bahan api kos tambahan akan disalurkan sebagai surcaj ICPT.

Sumber: Satu Berita

PALING POPULAR

To Top