Umum

Polis siasat video tular warga asing sokong hina Nabi Muhammad

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima laporan berhubung penularan video di aplikasi TikTok mengenai pendirian menyokong perjuangan ahli politik dari India yang membuat penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata rakaman menerusi akaun @gangarammahato280 tersebut memaparkan sekumpulan lelaki dipercayai warga asing berkumpul di hadapan kuil Batu Caves.

“Rakaman video berdurasi seminit 18 saat yang mendapat 16,000 tontonan, 52 sukaan dan 302 komen turut dikesan menerusi aplikasi media sosial lain seperti Facebook dan WhatsApp.

“Ia berhubung perjuangan Hindu Samachar serta tindakan ahli politik daripada Parti Bharatiya Janata, Nupur Sharma yang mengeluarkan kenyataan penghinaan tersebut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam atau golongan awam.

Menurutnya siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

PDRM turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan tidak menyentuh sensitiviti agama serta kaum selain mengingatkan tindakan tegas akan diambil kepada sesiapa yang sengaja berbuat demikian.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top