Umum

BIM diperluaskan ke projek kerajaan, GLC bermula 1 Ogos

Gambar Facebook

Penggunaan Perisian Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) akan diperluaskan ke semua peringkat khususnya dalam projek berkaitan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bermula 1 Ogos ini.

BIM merupakan proses penyediaan dan pengurusan model tiga dimensi (3D) dalam reka bentuk jalan, jambatan dan bangunan.

Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, BIM akan diguna pakai bagi projek bernilai RM10 juta dan ke atas.

“Ada banyak kebaikan menggunakan BIM antaranya mengurangkan kesilapan dalam reka bentuk, mengurangkan kos dan mempercepatkan pembinaan.

“BIM juga boleh berkongsi maklumat secara telus kepada semua pihak sama ada jurutera, arkitek, juruukur atau kontraktor terlibat,” katanya selepas pelancaran Asset Management Roundtable Series 2024/2025 dan Global Maintenance Day 2024 berlangsung di UEM Edgenta Learning Centre.

Menurutnya, satu mesyuarat pada minggu ini akan diadakan bagi memutuskan perincian perkara yang berkaitan pendekatan teknologi baharu berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau menerangkan BIM telah lama dilaksanakan tanpa diuar-uarkan seperti projek Sekolah Kebangsaan Taman Scientex, Johor Bahru selain Institut Kanser Negara, Putrajaya serta bangunan Merdeka 118.

Tambahnya, BIM bukan hanya boleh digunakan ketika pembinaan malah dijadikan rujukan untuk penyelenggaraan.

PALING POPULAR

To Top