Umum

Kementerian Kesihatan bakal umum pelan reformasi pembiayaan penjagaan kesihatan

Gambar Facebook

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengumumkan pelan Reformasi Pembiayaan Penjagaan Kesihatan bagi memperkukuh dan menambah baik sistem penjagaan kesihatan di negara ini, dalam masa terdekat.

Menurut Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad agenda reformasi itu antara lain menumpukan cara kreatif dan inovatif membelanjakan bajet tahunan yang diumumkan kerajaan.

Dzulkefly berkata ini dapat menambah kedudukan kewangan kementerian bagi kebaikan sistem penjagaan kesihatan supaya tidak tergugat dengan status fiskal negara.

“Kita pada asasnya berasaskan sistem cukai dan menerima RM41.2 bilion untuk tahun ini dan RM6.07 bilion untuk perbelanjaan pembangunan. Sebenarnya selama ini kita kekurangan dana, kekurangan petugas dan mempunyai beban kerja yang banyak,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah bangunan tambahan Hospital Pakar Avisena di sini hari ini.

Beliau menerangkan sebagai sebuah negara berpendapatan sederhana atas, Malaysia sepatutnya membelanjakan 6% hingga 7% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk penjagaan kesihatan berbanding 5.1% ketika ini.

Sehubungan itu Dzulkefly memuji sektor swasta dalam usaha melengkapkan sistem penjagaan kesihatan sektor awam, selain menggesa supaya mereka turut terlibat dalam penjagaan kesihatan berasaskan nilai.

Menteri Kesihatan berkata KKM sedang berusaha mengoptimumkan penggunaan katil menerusi penawaran rawatan harian di hospital-hospital utama dan pendigitalan Unit Pengurusan Katil (BMU) secara berpusat melalui sistem Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) hospital.

Katanya ia selaras dengan sasaran ditetapkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 untuk meningkatkan nisbah dua katil untuk setiap 1,000 penduduk kepada 2.06.

 

PALING POPULAR

To Top