Umum

BN Selangor sah tak hadir Jelajah Mega Madani Selangor

Barisan Nasional (BN) mengesahkan tidak akan hadir dalam Jelajah Mega Madani Selangor di Shah Alam malam ini yang antara agendanya untuk melancarkan jentera pilihan raya bersama Pakatan Harapan (PH).

Bercakap kepada FMT, Timbalan Ketua Umno Selangor Johan Aziz berkata pengerusi BN Zahid Hamidi juga tidak akan hadir ke program bakal menampilkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga pengerusi PH.

Jelasnya, keputusan itu dibuat kerana pihaknya tidak dipanggil berbincang oleh PH berhubung penganjuran program terbabit.

“Saya tak boleh cakap boikot, tetapi jemput itu macam tak penting. Cuma secara “RSVP” (pengesahan kehadiran)…jadi kita beritahu tak datang.

“Ini (Jelajah Mega Madani Selangor) jelajah mereka, biar mereka jalan dulu,” katanya menjelaskan program khas BN-PH akan dianjurkan dalam masa terdekat selepas perbincangan diadakan.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi PH, Jelajah Mega Madani Selangor bakal menampilkan pimpinan utama PH dan BN yang akan bekerjasama pada PRN.

Selain Anwar dan Zahid, pemimpin lain antaranya Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook, Ketua PH Selangor Amirudin Shari dan Ketua Umno Selangor Megat Zulkarnain Omardin.

Mengikut aturcara dikeluarkan penganjur, jelajah itu akan dimulai dengan pelancaran jentera pilihan raya PH dan BN.

Sumber: FMT News

PALING POPULAR

To Top