Umum

Bolehkah Yang di-Pertuan Agong tolak cadangan bubar Parlimen?

Jika Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pernah menolak nasihat Perdana Menteri dan Kabinet untuk mengisytiharkan darurat pada Oktober 2020, maka tidak mustahil Seri Paduka juga menolak pembubaran Parlimen jika dinasihati oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat ini.

Khabar kemungkinan Perdana Menteri akan menasihati YDPA untuk pembubaran Parlimen semakin bertiup kencang. Desakan daripada UMNO ke atas Perdana Menteri untuk pembubaran kelihatan amat kuat.

Walaupun Kabinet dilaporkan tidak setuju, tidak mustahil Perdana Menteri akan bertindak juga mengikut kehendak partinya.

Jika berlaku demikian, adakah YDPA mesti membubarkan Parlimen? Jika mengikut konvensyen perlembagaan dan kefahaman peruntukan perlembagaan secara literal, jawapannya, ya.

Pembubaran Parlimen di bawah Perkara 55(2) termasuk dalam urusan yang dilaksanakan oleh YDPA atas nasihat Perdana Menteri berdasarkan Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.

Berbeza dengan pembubaran akibat hilang sokongan majoriti di bawah Perkara 43(4) dan 40(2)(b) yang boleh dilakukan atas budi bicara YDPA.

Namun, dalam situasi semasa jika Perdana Menteri menasihati YDPA untuk pembubaran Parlimen, terdapat kemungkinan amalan biasa itu tidak berlaku. Ada beberapa perkara yang wajar dilihat bagi memahami situasi ini.

Pertama: Tidak seperti sebelum ini, Perdana Menteri kini tidak mewakili sesebuah parti atau gabungan parti secara solid. Sebelum ini, nasihat Perdana Menteri secara individu dianggap mewakili Kabinet tanpa perlu dipersoalkan.

Namun kini, jika Perdana Menteri menasihati YDPA untuk pembubaran Parlimen, ia belum mewakili keseluruhan anggota jemaah menteri yang mewakili kerajaan.

Maka nasihat Perdana Menteri mungkin ditolak atas alasan ia tidak dibuat secara kolektif sedangkan Perlembagaan memberikan penekanan kepada konsep tanggungjawab bersama atau collective responsibility (Perkara 43(3).

MAHKAMAH

Kedua: Sebagaimana keputusan YDPA menolak nasihat pengisytiharan darurat berteraskan kepentingan awam, maka tidak mustahil nasihat Perdana Menteri untuk pembubaran Parlimen juga ditolak berasaskan kepentingan awam.

Kepentingan awam boleh merujuk kepada beberapa faktor termasuklah ketidaksesuaian pilihan raya umum (PRU) dilaksanakan pada musim tengkujuh, dan pembaziran jika PRU di peringkat Parlimen tidak berjalan serentak dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) di beberapa negeri.

Ketiga: Tindakan YDPA yang mungkin tidak membubarkan Parlimen serta-merta walaupun selepas dinasihati Perdana Menteri tidak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah (Perkara 32).

Keempat: Pembubaran Parlimen yang menyebabkan rakyat terpaksa mengundi sewaktu musim tengkujuh dan PRU sebelum urusan belanjawan negara tidak disempurnakan dengan baik oleh kerajaan serta risiko pembaziran akibat pilihan raya tidak serentak adalah satu langkah yang tidak popular dan bertentangan dengan sentimen umum rakyat.

Sebarang tindakan YDPA yang selari dengan kehendak rakyat sukar dipersoalkan walaupun ia kelihatan luar biasa. Maka atas empat faktor di atas, saya menjangkakan tidak mustahil nasihat pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri akan ditolak jika ia benar-benar berlaku.

Adalah lebih baik bagi Perdana Menteri untuk mengutamakan keputusan Kabinet berbanding keputusan partinya.

Waktu yang baik untuk mengadakan pilihan raya ialah selepas selesai musim tengkujuh dan selepas Bajet 2023 dapat dilaksanakan sekurang-kurangnya tiga atau empat bulan.

Dalam situasi pelbagai parti menguasai kerajaan-kerajaan negeri, maka langkah paling tepat ialah mewujudkan persefahaman dengan parti-parti berbeza berkaitan waktu pembubaran Parlimen dan DUN-DUN.

Sama-sama kita doakan agar pemerintah dan pemimpin negara sentiasa diberi petunjuk oleh Allah SWT untuk membuat keputusan terbaik demi maslahah agama, rakyat dan negara.

*Dr. Muhammad Fathi Yusof ialah Profesor Madya di Universiti Teknologi Malaysia Kampus Kuala Lumpur (UTMKL).

Artikel ini kali pertama disiarkan di Utusan Malaysia dan tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

PALING POPULAR

To Top