Umum

Pengampunan Najib serah kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong sepenuhnya – Azalina Othman

Proses pengampunan untuk Najib Razak kini tidak lagi melibatkan prosedur undang-undang, kata Azalina Othman, sebaliknya terserah kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong sepenuhnya.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu lagi, dalam keadaan sekarang tidak ada sesiapa boleh memaksa agar Najib diberikan pengampunan diraja.

“Saya rasa bab itu (pengampunan diraja), apa pun ia adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

“Sekarang ini tidak ada prosedur undang- undang, sekarang adalah (terserah) budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

“Jadi, kita tidak boleh paksa, biar Yang di-Pertuan Agong yang buat keputusan kalau mahu mengkaji.

“Kita (Umno) sudah tidak terlibat,” katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Azalina yang juga Ketua Penerangan Umno berkata demikian sebagai mengulas pandangan peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang berpendapat Umno tidak boleh memfailkan permohonan pengampunan bagi pihak Najib.

Haniff sebelum ini dilaporkan berkata mengikut Peraturan 113, Peraturan-Peraturan Penjara 2000, petisyen pengampunan itu hanya boleh dilakukan oleh Najib sendiri, ahli keluarga atau peguam yang dilantik oleh bekas perdana menteri itu, dan Jabatan Penjara.

Bagaimanapun, katanya, Umno boleh memfailkan surat, petisyen atau kenyataan sokongan ditandatangani ahli-ahlinya kepada Agong untuk menyokong permohonan Najib.

Terdahulu Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, dilaporkan berkata, majlis kerja tertinggi (MKT) parti itu menerima memorandum daripada 191 bahagian untuk memohon kepemimpinan tertinggi membela bekas presiden mereka yang disifatkan banyak berjasa kepada rakyat dan negara.

MKT Umno juga sebulat suara bersetuju memohon menghadap bagi mempersembahkan warkah rayuan kepada Agong berserta memorandum ditandatangani oleh seluruh kepemimpinan Umno dari 191 bahagian.

PALING POPULAR

To Top