Umum

Buka segera sempadan penyelesaian terbaik pulih ekonomi negara – Penganalisis

PEMBUKAAN sempadan negara sepenuhnya dengan segera merupakan penyelesaian yang ideal dalam usaha kerajaan memulihkan ekonomi negara. 

Menurut Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid, ini adalah kerana sektor pelancongan yang menyumbang sekitar 12.5% daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2019 merupakan industri yang penting kepada negara.

“Perbelanjaan yang berkaitan pelancongan seperti penginapan, membeli belah serta perkhidmatan logistik sememangnya akan memberi kesan positif kepada ekonomi negara.

“Namun, langkah ini perlu dilaksanakan berhati-hati supaya ia tidak menyebabkan penyebaran wabak yang tidak terkawal terutama kesannya kepada kapasiti sektor kesihatan,” katanya menurut laporan DagangNews.

Mohd. Afzanizam berkata, nasihat daripada pakar kesihatan perlu dititikberatkan supaya segala risiko berkaitan Covid-19 telah pun dikenalpasti berserta dengan langkah-langkah untuk menanganinya.

Sebelum ini, Majlis Pemulihan Negara (MPN) mencadangkan supaya Malaysia membuka sepenuhnya sempadan negara tanpa keperluan kuarantin wajib seawal 1 Mac depan.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pembukaan sempadan kepada semua negara itu perlu dilaksanakan secara terancang dan berdasarkan penilaian risiko semasa.

Sementara itu, mengulas isu sama, Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed berkata, kerajaan harus memikirkan pembukaan sempadan kerana negara jiran seperti Thailand dan Vietnam bersedia untuk dibuka untuk pelancong asing.

“Ini menandakan permulaan baharu pemulihan ekonomi yang akan membawa kepada momentum pertumbuhan dalam fasa pemulihan pasca pandemik.

“Pada pendapat saya, masa adalah tepat untuk membuka sempadan dengan peraturan dan SOP yang ditetapkan,” tegas beliau. 

Dalam pada itu, Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Profesor Geoffrey Williams menjelaskan bahawa sejumlah RM240 bilion kerugian ekonomi dianggarkan pada tahun 2020 hingga 2021 dan sejumlah RM800 bilion kerugian akan dicatatkan pada 2023.

“Melalui analisis kos-faedah juga kita tidak nampak faedah yang memihak kepada sekatan pergerakan selanjutnya, dan adalah penting bahawa sempadan dibuka dan sekatan berakhir.

“Satu-satunya rancangan yang perlu bagi Malaysia adalah perancangan yang membolehkan perkara ini (pembukaan sempadan) berlaku pada minggu hadapan atau minggu seterusnya,” ujarnya. – SB

PALING POPULAR

To Top