Umum

OKT meninggal dunia dalam lokap dijangkiti Covid-19

Seorang tahanan lelaki yang ditemukan meninggal dunia dalam lokap Balai Polis Seri Alam, Johor Bahru, semalam, disahkan positif Covid-19.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata, lelaki berusia 49 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri pada 7 pagi.

“Pada 3 Februari lalu, Orang Kena Tahan (OKT) itu ditangkap dalam Op Pemutihan/Tapis oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam dan disiasat mengikut Seksyen 39(A)(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 15(1)(a) akta sama.

“OKT direman empat hari dan dituduh di mahkamah pada 7 Februari, namun tidak ditawarkan jamin dan menjalani tahanan reman penjara di lokap Balai Polis Seri Alam sementara menunggu sebutan semula pada 10 April depan.

“Pada 16 Februari jam 12.45 tengah hari, OKT mengadu sesak nafas lalu dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, OKT dilaporkan tidak sedarkan diri di dalam lokap kira-kira 7 pagi semalam dan koroner yang hadir ke lokasi mengesahkan lelaki itu sudah meninggal dunia sebelum mayatnya dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat.

Tambah beliau, keputusan ujian saringan diperoleh hari ini mengesahkan OKT positif Covid-19 dan bedah siasat dilakukan oleh Ketua Pakar Forensik Hospital Sultan Ismail.

“Bagaimanapun, punca kematian belum diketahui dan bergantung kepada laporan analisa serta ujian makmal oleh pihak Patalogi,” katanya.

Katanya, Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS akan menjalankan siasatan berkaitan kes itu.

PALING POPULAR

To Top