Umum

Bukan tugas pendakwa raya untuk maklum kenapa pertuduhan jenayah dimulakan atau dihentikan

Gambar AGC

Peguam Negara Ahmad Terrirudin Salleh menegaskan bukan tugas pendakwa raya untuk maklumkan orang ramai mengapa pertuduhan jenayah dimulakan atau dihentikan terhadap seseorang di mahkamah.

Dalam ucapan sempena Pembukaan Tahun Perundangan, beliau berkata budi bicara pendakwa raya untuk memfailkan atau menghentikan pertuduhan termaktub bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Adalah penting untuk menekankan bahawa jawatan pendakwa raya mesti dibenarkan untuk melaksanakan tugasnya bawah Perlembagaan.

“Pihak berkepentingan mesti memahami peranan pendakwa raya,” katanya.

Peguam negara juga berkata, beliau tidak teragak-agak mengheret mereka yang memanipulasi isu 3R (kaum, agama, institusi diraja) ke muka pengadilan bawah Akta Hasutan bagi memelihara ketenteraman awam.

Terdahulu, pemimpin masyarakat sivil menuntut penjelasan berhubung permohonan pihak pendakwaan yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berhubung kes Yayasan Akalbudi, September lalu.

Bekas presiden Badan Peguam Ambiga Sreenevasan berkata keputusan pihak pendakwaan itu sebagai “pembaziran dana awam” dan pembaziran kerja keras oleh anggota Jabatan Peguam Negara.

Pada ketika itu, Zahid dituduh menyeleweng jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah untuk pelbagai projek semasa beliau menjadi menteri dalam negeri antara 2013 dan 2018.

 

Sumber FMT

PALING POPULAR

To Top