Umum

Rumah dipecah masuk melalui bumbung, pasangan kerugian RM9,500

Gambar Facebook

Seorang peniaga dan pasangannya kerugian RM9,500 setelah rumah kediaman mereka di Ampang Jaya, disyaki dipecah masuk penjenayah melalui bumbung pada hari Sabtu.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, dalam kejadian pada jam 10 pagi itu, pengadu telah meninggalkan rumah untuk membantu suaminya berniaga di Jalan Ampang.

“Pengadu kemudian pulang ke rumah pada jam 3 petang dan menyedari ruang tamu berselerak serta pintu bilik utama terkunci dari dalam.

“Apabila pengadu berjaya memasuki bilik tersebut dengan menggunakan kunci pendua, dia mendapati barangan berselerak dan siling terbuka,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohd Azam berkata, pengadu membuat pemeriksaan dan mendapati beberapa barangan berharga telah hilang iaitu beberapa barang kemas anggaran RM7,000 dan wang tunai kira-kira RM2,500.

“Siasatan awal mendapati rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan seorang lelaki berada di atas bumbung rumah mangsa dan dipercayai telah pecah masuk ke rumah tersebut melalui bumbung.

“Kes disiasat bawah Seksyen 457 Kanun keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,” katanya.

PALING POPULAR

To Top