Umum

Bung Moktar, Zizie Izette lepas bebas kes rasuah RM2.8 juta

Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad daripada ketiga-tiga pertuduhan rasuah yang dihadapi mereka.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pasangan itu untuk semakan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.

Bung, 63, kelihatan tenang manakala Zizie Izette, 44, menangis selepas mendengar keputusan itu.

Hakim memutuskan bahawa adalah sesuai dan wajar untuk melaksanakan kuasa penyemakan di bawah Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) dalam kes itu.

“Setelah meneliti rekod prosiding, mahkamah ini mendapati tiada bukti saksi pendakwaan ke-24 iaitu ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid dan saksi pendakwaan ke-25, perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar telah memberikan wang kepada Bung Mokhtar melalui isterinya.

“Jadi keputusan Mahkamah Sesyen untuk memanggil pembelaan adalah satu kesalahan dalam melaksanakan keadilan. Saya dengan ini menggunakan Seksyen 325 KTJ untuk membebaskan dan melepaskan kedua-dua mereka,” kata hakim itu.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Low Chin How manakala peguam Datuk K. Kumaraendran dan M. Athimulan masing-masing mewakili Bung Mokhtar dan Zizie Izette.

Mahkamah Sesyen, pada 2 Sept tahun lepas, memerintahkan Bung Mokhtar dan Zizie Izette membela diri atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah itu. Ini mendorong mereka memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan Mahkamah Sesyen.

Sumber: Bernama

PALING POPULAR

To Top