Umum

‘Tak akan saya nak kacau orang punya’ – Puteri Sarah dedah identiti lelaki misteri

PELAKON Puteri Sarah Liyana menjelaskan identiti gambar tangan seorang lelaki yang dimuat naik di Instagram baru-baru ini adalah milik aktor Indonesia dan ahli perniagaan, Andi Arsyil Rahman.

Menurut Puteri Sarah, dia tidak bertemu rakan perniagaannya seorang diri sebaliknya pengurus dan anak-anaknya juga ada bersama.

“Saya pergi Jakarta sebab ada penggambaran tapi sekarang ada masalah sikit dan ditundakan, dalam masa yang sama saya buat perniagaan.

“Dia merupakan pelakon Indonesia tetapi sekarang dia juga memberikan fokus terhadap perniagaannya.

“Kebetulan kami juga berminat dalam bidang yang sama iaitu perniagaan produk penjagaan wajah dan tudung dia yang produce.

“Sekarang kami sudah lebarkan sayap perniagaan di Singapura dan Brunei, dia adalah rakan perniagaan saya.

“Saya selesa bersamanya sebagai rakan sekerja kerana dia juga melakukan perniagaan yang sama dengan saya,” jelasnya ketika ditemui Gempak.

Puteri Sarah ditemui pada sidang media Teater Muzikal Kanak-Kanak Pak Pandir dan Labu Ajaib.

Mengulas mengenai detik pertemuan mereka, Puteri Sarah memaklumkan dia mula mengenali aktor itu ketika pergi ke Jakarta atas tujuan kerja.

“Saya selalu ke Jakarta, jadi bila melakukan mesyuarat kita akan bertemu dengan ramai orang dan kami bercakap mengenai hal perniagaan.

“Dia juga ada menyatakan hasrat untuk memperkembangkan perniagaan penjagaan wajah di Malaysia dan Singapura, di situlah bermulanya perkenalan kami.

“Saya jumpa dia bukan seorang tetapi ramai-ramai termasuk pengurus peribadi dan anak saya pun ada sekali.

“Tak akan saya nak kacau orang punya,” selorohnya.

Terdahulu, Puteri Sarah mencuri perhatian ramai apabila memuat naik foto tangan seorang lelaki sedang memegang telefon menerusi Instagram Story baru-baru ini.

Foto tersebut sekali gus mencetuskan tanda tanya netizen tentang individu tersebut. –Gempak

PALING POPULAR

To Top