Umum

Bursa Malaysia dibuka rendah

Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini mengambil petunjuk daripada prestasi semalaman Wall Street yang lemah berikutan minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan Amerika Syarikat (AS) pada Jun memberi petunjuk kepada lebih banyak kenaikan kadar pada akhir tahun ini.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 2.90 mata kepada 1,387.00 daripada 1,389.90 pada Rabu.

Indeks utama dibuka rendah 0.19 mata kepada 1,389.71.

Suasana pasaran negatif berikutan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 167 berbanding 115 manakala 227 kaunter tidak berubah, 1,737 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 168.75 juta unit bernilai RM84.15 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street meneruskan dagangan dalam sentimen lemah berikutan minit mesyuarat Fed menunjukkan bahawa akan ada lebih banyak kenaikan kadar pada masa depan walaupun data terkini menunjukkan pesanan kilang yang lebih rendah daripada jangkaan pada Mei.

Dow Jones Industrial Average merosot 0.38 peratus semalaman manakala Nasdaq susut 0.18 peratus berikutan hasil 10 tahun AS yang semakin hampir kepada paras empat peratus pada 3.934 peratus.

Di Hong Kong, Indeks Hang Seng merosot 1.11 peratus pada pagi Khamis berikutan penurunan taraf terhadap beberapa bank utama oleh Goldman Sachs.

“Sentimen semakin merosot berikutan AS dan China yang terus bertelagah dalam sektor teknologi boleh menjejaskan pembangunan industri,” katanya kepada Bernama.

Dalam negara, Thong berkata FBM KLCI ditutup rendah semalam berikutan jualan meningkat menjelang ditutup.

“Ia menarik apabila didapati saham perladangan secara diam mengekalkan aliran meningkat kepada paras tertinggi dalam tempoh sebulan mencerminkan peningkatan semula baru-baru ini untuk harga minyak sawit mentah yang kini melebihi paras RM3,900 satu tan atau paras tertinggi dalam tempoh tiga bulan.

“Walaupun tarikh pilihan raya negeri yang ditetapkan pada 12 Ogos dijangka mengurangkan beberapa tahap ketidaktentuan kepada pasaran, kami menjangka sentimen akan kekal berhati-hati, justeru, mengunjurkan indeks akan diniagakan dalam julat 1,385-1,405 hari ini,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, IHH Healthcare menambah satu sen kepada RM5.84, Maybank berkurangan satu sen kepada RM8.69, Public Bank merosot tiga sen kepada RM3.87, CIMB susut dua sen kepada RM5.16 dan Tenaga Nasional merosot empat sen kepada RM9.04.

Daripada saham aktif, Jade Marvel naik 1.5 sen kepada 22.5 sen, Artroniq berkurangan 5.5 sen kepada 72 sen manakala Tanco, Cypark Resources dan Sarawak Consolidated, masing-masing tidak berubah pada 52.5 sen, 80.5 sen dan 47.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 17.71 mata kepada 10,233.81, Indeks FBMT 100 berkurangan 17.84 mata kepada 9,927.55, Indeks FBM ACE menambah 4.02 mata kepada 5,169.39, Indeks FBM 70 susut 12.05 mata kepada 13,539.42 dan Indeks FBM Emas Shariah jatuh 17.79 mata kepada 10,513.54.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 25.02 mata kepada 15,439.51, Indeks Tenaga berkurangan 1.16 mata kepada 797.01, Indeks Perladangan susut 31.41 mata kepada 6,884.76 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 0.66 mata kepada 158.31.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top