Umum

Sah tiada calon MCA, MIC terbabit dalam PRN di 6 negeri

MCA dan MIC hari ini membuat keputusan untuk tidak menyertai pilihan raya negeri yang bakal berlangsung pada Ogos depan.

Menurut Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon keputusan tersebut diambil selepas jawatankuasa pusat parti itu bermesyuarat pada hari ini.

“Keputusan ini dicapai selepas perbincangan secara mendalam dan analisis, serta mengambil kira situasi politik semasa, dengan parti akan melaksanakan pembaharuan dan kebangkitan semula,” katanya.

Dalam tempoh itu juga kata Chong MCA akan memberi tumpuan kepada persiapam menghadapi PRU ke-16.

“Pada masa sama, MCA akan memainkan peranan sebagai parti komponen BN yang akan membantu calon-calon parti komponen BN dalam PRN di enam negeri kelak,” katanya.

Sebelum ini kedudukan dua parti komponen BN – MCA dan MIC – dalam PRN masih menjadi tanda tanya apabila perbincangan pembahagian kerusi dilihat lebih didominasi Umno.

Keputusan kerusi parlimen bagi PRU ke-15 pada Nov tahun lalu menyaksikan penyusutan ketara wakil kedua-dua parti bukan Melayu itu di Dewan Rakyat.

Daripada 10 calon MIC yang dipertaruhkan, hanya seorang yang berjaya mengalahkan lawan masing-masing iaitu M Saravanan di kawasan parlimen Tapah.

MCA pula meletakkan 42 calon, dan daripada jumlah itu hanya dua yang berjaya ke Dewan Rakyat iaitu Wee Ka Siong bagi kerusi Ayer Hitam, dan Wee Jeck Seng (Tanjung Piai).

Pada 3 Julai lalu Malaysiakini melaporkan MCA Selangor sedang menunggu jawapan daripada pucuk pimpinan BN mengenai permohonan mereka untuk bertanding di lima kerusi dewan undangan negeri

Pengerusi MCA Selangor Ng Chok Sin dipetik sebagai berkata mereka meminta untuk meletakkan calon di kerusi tradisi.

Antara lain kerusi itu ialah untuk DUN Sungai Pelek, Kuala Kubu Baru dan Rawang.

“Tetapi sehingga hari ini kita (MCA) tidak dimaklumkan kerusi mana yang akan diagihkan kepada kita,” katanya.

Tak dibincangkan Majlis Tertinggi BN

Dalam kenyataan yang dikeluarkan petang ini Chong berkata MCA tetap berpegang teguh kepada falsafah penubuhan parti.

“Mana-mana keputusan yang diambil parti haruslah selari dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kesederhanaan, kebebasan dan demokrasi, di samping menjaga hak dan kepentingan rakyat sebagai agenda utama kami,” katanya.

Sementara itu Setiausaha Agungnya MIC RT Rajasekaran juga menegaskan keputusan parti itu untuk tidak bertanding di enam negeri yang akan mengadakan PRN bulan depan

Katanya keputusan tersebut dicapai sebulat suara oleh Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC yang bermesyuarat pada 30 Jun lalu.

Katanya tiada calon MIC akan diturunkan untuk bertanding di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

“Keputusan ini dicapai selepas perbincangan berlangsung selama lebih kurang 4 jam, selain meneliti keadaan politik semasa dan mendengar pandangan setiap ahli CWC.

“Namun, MIC akan melaksanakan peranannya sebagai parti komponen BN,” katanya.

Tambah Raja keputusan MIC telahpun dimaklumkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai pengerusi kerajaan perpaduan.

Dengan keputusan tersebut, parti itu juga secara rasmi tidak akan mempertahankan DUN Jeram Padang di Negeri Sembilan yang dimenangi L Manickam pada PRU ke-14 lalu.

Menjelaskan pendirian MIC, Rajasekaran berkata, isu pengagihan kerusi dalam kalangan parti komponen BN tidak pernah dibincangkan diperingkat parti berkenaan.

“Saya ingin menarik perhatian kepada kenyataan (Timbalan Pengerusi BN) Mohamad Hasan yang menyatakan bahawa keputusan muktamad telah pun dibuat mengenai pengagihan kerusi-kerusi untuk ditandingi pada PRN kelak.

“Tetapi, fakta ini tidak dibincang mahupun dipersetujui oleh Majlis Tertinggi BN ataupun parti MIC,” katanya.

Menurut Rajasekaran lagi keputusan yang diambil MIC dibuat semata-mata demi melindungi kepentingan parti.

Buat masa ini, tambahnya MIC akan memberi lebih perhatian kepada proses membina struktur parti yang lebih mantap bagi menghadapi PRU ke-16.

Sumber: MalaysiaKini

PALING POPULAR

To Top