Umum

Cadangan pindaan Akta Perubatan selaras pengiktirafan program laluan selari

Gambar Facebook

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad menyatakan cadangan pindaan Akta Perubatan 1971 untuk menyelaraskan pengiktirafan pakar oleh Majlis Perubatan Malaysia (MPM) akan merangkumi kedua-dua program laluan selari di kolej luar negara dan kursus sarjana tempatan.

Menurut Menteri itu, beliau telah lama berusaha menangani isu ini dan telah berbincang dengan wakil daripada Jabatan Peguam Negara berhubung pindaan itu.

“Kementerian mengadakan libat urus yang baik dengan Jabatan Peguam Negara dan (kami) sedang dalam peringkat akhir meneliti pindaan itu.

“Ini bukan sahaja melibatkan pelatih program laluan selari tetapi juga mereka yang melanjutkan pengajian sarjana di dalam negara.

“Harus difahamkan, KKM dipandu oleh Jabatan Peguam Negara (dalam perkara ini),” katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Ampang hari ini.

MPM dikatakan sebelum ini enggan mengiktiraf pakar lulusan Royal College of Surgeons Edinburgh bawah program laluan selari, khususnya dalam pembedahan kardiotoraks.

Terdahulu, 4 doktor memfailkan semakan kehakiman yang akan didengar pada 17 April, untuk memaksa MPM mengiktiraf kelayakan mereka dan menyenaraikan mereka dalam Daftar Pakar Kebangsaan, membolehkan mereka berkhidmat sebagai pakar.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi membenarkan 6 pakar lulusan program patologi (genetik perubatan) Universiti Sains Malaysia untuk mencabar keputusan MPM tidak mengiktiraf kelayakan mereka. Kes mereka akan didengar pada 20 Jun.

Beberapa doktor kanan mendakwa MPM menolak permohonan lapan pakar bedah kardiotoraks dan 100 pakar perubatan keluarga, yang dilatih menerusi program laluan selari, untuk disenaraikan dalam Daftar Pakar Kebangsaan.

Minggu lepas, dilaporkan media, Dzulkefly berkata, Akta Perubatan 1971 dijangka dipinda pada sidang Dewan Rakyat Jun ini bagi membetulkan isu berkaitan dengan pengiktirafan pakar oleh MPM.

PALING POPULAR

To Top