KUCHING: Proses vaksinasi remaja di Sarawak dijangka bermula Rabu ini, kata pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak, berkata pada masa ini pihaknya sedang melaksanakan persiapan akhir bagi proses vaksinasi berkenaan.
“Kita akan umumkan secara terperinci kalau persiapan sudah selesai. Buat masa ini kita masih membuat persiapan untuk melaksanakannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dipetik berkata, remaja berusia 18 tahun ke bawah bakal menerima suntikan vaksin COVID-19 seawal minggu hadapan, dimulakan di Sarawak susulan kelancaran pemberian vaksin di negeri ini yang sudah mencapai kadar sasaran lebih 80 peratus populasi dewasa divaksin.
Sementara, Penasihat JPBN, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dalam kenyataan berasingan, menyampaikan penghargaan kepada Khairi kerana menyokong Sarawak memberi vaksin kepada remaja berumur 12 hingga 18 tahun mulai minggu depan.
Katanya, usaha berkenaan sepatutnya dilaksanakan lebih awal, tetapi disebabkan perubahan politik di peringkat Persekutuan, ia tertunda lebih dua minggu.
“Remaja berusia 12 hingga 18 tahun merangkumi 10 peratus daripada jumlah penduduk Sarawak. Di negeri ini, kita harus memvaksinasi sebilangan besar penduduk kerana varian Delta mengubah konsep 70 hingga 80 peratus kelompok imuniti di seluruh dunia,” katanya.
Dr Sim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan turut memberi jaminan vaksinasi remaja akan dapat dilaksanakan dengan cepat dan lancar, seperti prosedur ke atas golongan dewasa apabila lebih satu juta dos diberikan dalam tempoh 18 hari pada Jun lalu.