Umum

Pemilihan Muhyiddin tepat, kaya pengalaman urus COVID-19

KUALA LUMPUR: Pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) adalah tepat kerana beliau kaya dengan pengalaman menguruskan pandemik COVID-19.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata pelantikan itu juga meneruskan kesinambungan tugasan yang dimulakan Muhyiddin apabila dilantik sebagai Perdana Menteri awal tahun lalu.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Muhyiddin atas pelantikan sebagai Pengerusi MPN. Pelantikan ini kesinambungan tugasan dimulakan beliau, sesuai dengan pengalamannya dalam menangani pandemik COVID-19.

“Semoga gandingan beliau bersama Perdana Menteri mengharapkan segala usaha dan perancangan memulihkan negara berjalan lancar, demi menjamin kelangsungan hidup dan kestabilan ekonomi rakyat,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Semalam, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali mengumumkan pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN bertaraf Menteri.

Beliau berkata, pelantikan berkenaan disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 1 September lalu bersetuju melantik Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN bertaraf Menteri.

Dalam reaksi segera, Muhyiddin menyatakan beliau sedia menjalankan tugas secara sukarela tanpa sebarang imbuhan.

Katanya, beliau dan anggota MPN akan membantu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan pimpinan Perdana Menteri itu membawa Malaysia melalui fasa pemulihan seperti digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sumber: Berita HarianĀ 

PALING POPULAR

To Top